Cari @ Amanz

Hujung minggu lalu topik paling hangat dibincangkan di media sosial ialah pegawai eksekutif FINAS Ahmad Idham menyuarakan gesaan ingin kandungan digital dipantau dari mengandungi adegan yang dilihat sebagai sensitif. Beliau berkata ini adalah kerana kerisauan di kalangan ibu bapa bahawa kandungan yang ditonton tidak sesuai untuk kanak-kanak.

Kerisauan ini mungkin berlaku kerana nampaknya ramai ibu bapa tidak menyedari hampir kesemua perkhidmatan penstriman mempunyai sistem saringan kandungan terbina. Menerusi artikel ini kami ingin mengajar cara menapis kandungan menerusi ciri kawalan ibu bapa pada Netflix, Astro GO dan HBO GO. Kami gunakan tiga perkhidmatan ini kerana ia menayangkan kandungan yang mungkin dianggap tidak sesuai untuk tontonan sebilangan masyarakat Malaysia.

NETFLIX

Kerana Netflix dijadikan kambing hitam, kita mulakan tutorial ini dengan perkhidmatan ini. Apa yang anda perlu lakukan adalah amat mudah. Pertama sekali pergi keĀ  WWW.NETFLIX.COM/YourAccount menggunakan pelayar web. Tetapan tidak boleh diubah terus dari dalam aplikasi telefon pintar atau tablet.

Pada tetapan Settings pilih Parental Controls. Anda kemudian diminta memasukkan kata laluan akaun sebagai pengesahan identiti. Netflix kemudian akan meminta anda menetapkan pin 4 angka peribadi. Selepas ini dilakukan terdapat pilihan Restrict By Maturity Level. Pilih tahap umur kandungan yang dibenarkan tanpa perlu memasukkan pin 4 angka.

Jika anda risau dengan kandungan seks, ganas dan menyentuh keagamaan disarankan jangan memilih Adults pada kesemua profil Netflix. Kesemua kandungan yang menerima pengelasan R, TV-MA, NC-17, Not Rated dan Unrated akan dihalang secara automatik.

Jika ini masih tidak mencukupi turunkan had umur ke Little Kids. Pada tetapan ini, siri animasi Pokemon juga akan dihalang. Ini adalah amat perlu bagi penonton yang amat sensitif dan percaya Pokemon mengandungi sistem kawalan minda Project Monarch Illuminati.

Netflix turut memberikan pilihan tambahan yang menghalang tajuk tertentu dari dimainkan tanpa pin 4 angka. Ini sesuai digunakan oleh ibu bapa yang mungkin risau Peppa Pig mengandungi elemen yang sensitif walaupun ia diklasifikasikan U – sesuai untuk tonton umum.

Astro GO

Astro GO menawarkan kandungan siri HBO seperti Game of Thrones dan The Wire kepada pelanggan mereka. Sejak dua tahun yang lalu kandungan siri HBO yang ditawarkan secara VOD tidak lagi ditapis. Desakan dari pengguna yang sebelum ini terpaksa memuat turun secara haram bagi menonton karya yang disunting mungkin antara sebab ini dilakukan. Umum diketahui siri seperti HBO dipenuhi adegan yang ganas.

Seperti Netflix, Astro GO turut mempunyai sistem saringan kandungan yang boleh ditonton secara terbina. Cara paling mudah ialah menerusi aplikasi Astro GO ini sendiri kerana selepas tahap kebenaran ditetapkan pada peranti, ia juga akan digunakan pada set kotak TV Astro di rumah,

Dari dalam aplikasi, tekan menu yang terletak pada bahagian atas kiri skrin. Pilih Settings >>Preferences>> PIN Management. Secara default Astro menetapkan pin sebagai 0000. Tukar PIN terlebih dahulu sebelum ke langkah seterusnya.

Kemudian kembali ke Pilih Settings >>Preferences>> Parental Controls. Aktifkan Viewing Restrictions dan kemudian pilih tahap kandungan yang perlu ditapis. Kandungan dewasa seperti Game of Thrones dan Sex and The City mempunyai pengelasan umur 21. Empat tahap halangan kandungan diberikan oleh Astro GO. Tahap paling ketat menyebabkan kesemua kandungan yang tidak sesuai ditonton kanak-kanak berumur 7 tahun ke bawah dihalang jika PIN tidak dimasukkan.

HBO GO

Akhir sekali ialah HBO GO bagi mereka yang mungkin lebih selesa mensrim kandungan HBO terus dari aplikasi khas dan bukan menerusi Astro GO. Dari dalam aplikasi pilih More >> Parental Control >> Update Limit. Pilih had umur G jika anda mahu menghalang kandungan yang tidak sesuai ditonton kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Kesemua kandungan masih boleh ditonton oleh pengguna dewasa dengan memasukkan pin yang telah ditetapkan sebelum ini.

Kami berharap dengan artikel ini golongan ibu bapa akan dapat menghalang kandungan yang tidak diingini dari distrim. Anda tidak perlu risau anak-anak terdedah dengan kandungan dewasa secara tidak sengaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd