Dua tahun yang lalu Qualcomm Snapdragon 835 mula digunakan pada PC di bawah inisiatif Always Connected PC. Ini diikuti pula oleh Snapdragon 850 dan Snapdragon 8cx tahun lalu. Hari ini dua cip pemproses terbaru Snapdragon 7c dan Snapdragon 8c diumumkan bagi meneruskan usaha menghasilkan komputer riba yang sentiasa berhubung dan mempunyai ketahanan bateri yang lebih lama berbanding komputer Windows lain di pasaran.
Pemproses Snapdragon 7c membawakan peningkatan sehingga 20% dan dua kali ganda hayat bateri berbanding platform lain di pasaran. Qualcomm mendakwa komputer riba yang boleh bertahan berhari-hari lamanya boleh menjadi realiti dengan penggunaan pemproses ini.
Ia dilengkapi CPU lapan teras Kryo 468 pada kelajuan 2.45 Ghz, GPU Adreno 618 dan modem X15 LTE terbina untuk sambungan selular sepanjang masa. Teknologi 8nm digunakan dalam penghasilan pemproses ini. Walaupun hanya menyokong capaian 4G LTE, ia masih boleh menikmati Internet pantas menerusi sokongan WiFi 6 dan tambahan bluetooth 5.1.
Snapdragon 8c pula memberikan peningkatan 30% berbanding Snapdragon 850. Ia dilengkapi CPU lapan teras Kryo 490 pada kelajuan 2.45 GHz, GPU Adreno 675 yang menyokong Direct X12, modem X24 LTE terbina dan Qualcomm AI Engine dengan kemampuan 6 TOPS. Seperti Snapdragon 8cx, 8c dihasilkan menggunakan teknologi 7nm.
Selain itu sokongan rangkaian 5G juga boleh diberikan jika ia dipadankan dengan modem X55 secara luaran. Namun begitu Snapdragon 8c tidak menyokong WiFi 6 dan masih sekadar bluetooth 5.0 tidak seperti Snapragon 7c. Satu kelebihan cip Qualcomm ini ialah pengecas pantas QuickCharge 4+ turut boleh dinikmati pada sebuah komputer riba.
Snapdragon 7c menyasarkan penggunaan pada komputer kelas permulaan, Snapdragon 8C pada komputer kelas perdana manakala Snapragon 8cs pula untuk komputer kelas mercu. Kesemua ini dilakukan tanpa penggunaan kipas untuk penyejukan dan rekaan yang lebih nipis.
Sungguhpun begitu sehingga kini penggunaan cip ini di pasaran adalah masih rendah malahan tidak ditawarkan secara meluas di negara kita Malaysia.