Cari @ Amanz

Sejak dua tahun yang lalu, tiada pemproses keluaran Qualcomm, Huawei, MediaTek dan Samsung berjaya menandingi kemampuan pemproses Apple. Apple A12 misalnya lebih pantas berbanding Snapdragon 855 dan Apple A13 pula lebih pantas berbanding Snapdragon 855+. Di acara Snapdragon Summit dua minggu yang lalu, kami diberikan akses awal untuk menguji Snapdragon 865 yang diberi nama jolokan The Beast oleh Qulacomm. Berita baik bagi pengguna Android ialah akhirnya pemproses mercu Qualcomm ini dapat menandingi kemampuan pemproses mercu Apple.

Beberapa ujian penanda aras telah kami lakukan menggunakan peranti ujian (dengan kod nama Kona) yang diberikan oleh pihak Qualcomm. Kita mulakan terlebih dahulu dengan ujian popular Antutu 3D. Markah terbaik yang berjaya dicatatkan ialah 553,429 manakala markah terendah pula ialah 544,173.

Di makmal ujian Amanz, markah tertinggi yang pernah dicatatkan Apple 13 ialah 457,695. Markah yang dicatatkan oleh Snapdragon 865 adalah 21% lebih tinggi berbanding markah yang dicatatkan oleh Apple A13. Markah terbaik pernah dicatatkan kami catatkan pada peranti dengan cip Snapragon 855+ pada Asus ROG Phone 2 ialah 395,739. Ini bermakna markah yang dicatatkan Snapdragon 865 adalah 40% lebih tinggi dalam ujian Antutu 3D. Kami tidak menggunakan markah yang ROG Phone 2 yang dicatatkan pada skrin di atas kerana ia bukan markah yang kami uji sendiri di makmal Amanz.

Seterusnya ialah ujian Geekbench 5 yang juga kerap kami lakukan pada setiap peranti yang diulas. Snapragon 865 mencatatkan 930 markah dalam ujian satu teras dan 3463 markah dalam ujian multi-teras. Snapdragon 865 kalah kepada Apple A13 dalam ujian satu teras tetapi mengatasinya dalam ujian multi-teras. Tidak mengejutkan marakh penanda aras Snapdragon 855+ adalah lebih rendah dalam ujian satu dan juga multi teras.

Kesemua markah yang dicatatkan ini ialah dari sebuah peranti rekaan rujukan dari Qualcomm. Markah sebenar untuk kegunaan di dunia sebenar hanya akan diketahui apabila peranti Snapdragon 865 mula dipasarkan tahun hadapan. Mungkin kelak markah yang lebih tinggi atau lebih rendah akan dicatatkan. Tetapi sekurang-kurangnya pada tahun 2020, peranti mercu Android tidak akan lagi dilengkapi pemproses yang di belakang pemproses terbaik Apple untuk 2019.

Mungkin sebab inilah sudah mula kedengaran Samsung akan memasarkan peranti dengan pemproses Snapdragon 865 ke pasaran yang sebelum ini hanya menerima model dengan pemproses Exynos. Sama-sama kita lihat sama ada peranti sebenar akan dapat memberikan prestasi sebaik peranti rujukan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd