Cari @ Amanz

Tahun lepas, informasi baharu mengenai peranti mercu Samsung Galaxy tahun ini telah muncul. Samsung dikatakan tidak akan menggunakan nama S11, sebaliknya akan menggunakan nama S20 bagi selari dengan tahun 2020. Siri Galaxy S20 ini dikatakan turut akan hadir dengan sokongan skrin 120Hz dan akan dilancarkan pada 11 Februari tidak lama lagi. Sehingga hari ini, kita hanya lihat imej pengolokan sahaja buat peranti ini. Kamera belakang akan menggunakan modul berbentuk segi empat, mengekalkan skrin berlubang dan saiz dahi dan dagu yang lebih nipis.

Baru-baru ini, imej rasmi Samsung Galaxy S20+ 5G telah tertiris. Melalui imej ini, ia mengesahkan rekaan kamera segi empat dan penggunaan nama Galaxy S20. Berdasarkan imej, terdapat empat lensa, LED flash, mikrofon dan sudah tiada butang Bixby (syukur). Bezel adalah lebih nipis, lubang pada skrin untuk kamera swafoto dikekalkan dan menurut sumber skrin melengkungnya tidak seperti sebelum ini. Ia hampir rata dan mirip Pixel 2 XL.

Galaxy S20+ ini dikatakan bukan variasi yang paling tinggi atau mahal. Sebaliknya adalah pilihan kedua selepas Galaxy S20 (model E mungkin tiada lagi). Model dengan spesifikasi paling tinggi dan saiz lebih besar dikatakan adalah Galaxy S20 Ultra. Kamera pada peranti ini juga dikatakan bukannya lensa 108MP, tetapi adalah lensa baharu 12MP 1.8μm bersama-sama dengan lensa sudut ultra lebar, telefoto dan mungkin lensa makro. Lebih maklumat lanjut akan kita ketahui bulan Februari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd