Carian
Sel Imun Dengan Kemampuan Membunuh Kebanyakan Jenis Kanser Ditemui
January 21, 2020 Effi Saharudin

Penyakit kanser ialah penyebab kematian kedua terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung. Jumlah penyakit kanser dijangka semakin meningkat kerana faktor gaya hidup dan alam sekitar. Pada waktu ini cara ia dirawat adalah berbeza mengikut jenis kanser yang dihidapi pesakit. Tetapi penyelidik dari Cardiff University telah menemui sel imun tubuh baharu yang mungkin boleh digunakan untuk merawat kesemua jenis kanser.

Sel Thymocytes (sel T) baharu yang menentang jangkitan di dalam tubuh telah ditemui di dalam sel darah manusia secara tidak sengaja. Di dalam ujian makmal, sel imun tubuh ini menyerang serta membunuh sel kanser paru-paru, kulit, darah, kolon, payu dara, tulang, prostat, ovari, ginjal dan serviks. Penemuan sel T ini mengejutkan kerana sebelum ini ia dipercayai tidak wujud.

Di dalam dunia perubatan, kaedah rawatan terapi sel T telah lama wujud tetapi pada waktu ini hanya boleh digunakan untuk penyakit leukemia. Terapi yang diberi nama CAR-T dan TCR-T, mengambil sel T pesakit yang kemudiannya direka bentuk secara genetik untuk menyerang sel kanser. Kedua-dua terapi ini walau bagaimanapun tidak boleh digunakan untuk menyerang sel tumor dan turut menelan belanja yang tinggi. Dengan penemuan sel imun baharu ini, rawatan untuk hampir kesemua jenis kanser dapat dihasilkan secara meluas.

Ujian pada waktu ini hanya dilakukan ke atas haiwan makmal. Ujian ke atas pesakit manusia mungkin akan dimulakan seawal November sekiranya ia didapati cukup selamat. Lebih banyak ujian perlu dilakukan sebelum rawatan imunoterapi ini dapat digunakan di dunia sebenar.

Dengan penemuan ini, dunia semakin hampir untuk menghapuskan penyakit yang membunuh lebih dari 9 juta individu setiap tahun. Tahun lalu vaksin yang mampu menghapuskan semua jenis kanser telah diuji di Australia. Mungkin dalam masa satu generasi sahaja lagi, kanser boleh dihapuskan seperti kita kini hampir menghapuskan polio.

Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal Nature Immunology.

Komen