Carian
Samsung Akan Memperkenalkan Quick Share Dengan Fungsi Seakan AirDrop
January 24, 2020 Effi Saharudin

Menerusi AirDrop, pengguna produk Apple dapat melakukan perkongsian fail dengan mudah. Pada peranti Android, fungsi Nearby Sharing pula akan diperkenalkan sebagai jawapan kepada AirDrop. Kini fungsi yang sama juga akan diperkenalkan oleh Samsung dengan nama Quick Share.

Fungsi ini ditemui oleh laman XDA yang mampu mendapatkan sebuah Galaxy S20 sebelum ia dilancarkan. Quick Share mempunyai fungsi yang sama seperti Nearby Sharing. Pengguna boleh memberikan akses hanya kepada individu yang ada dalam senarai alamat pemilik peranti atau membenarkan penghantaran fail kepada semua.

Berdasarkan ujian oleh XDA, fungsi Quick Share hanya boleh dilakukan di antara produk keluaran Samsung pada waktu ini. Terdapat juga kemampuan berkongsi fail ke awanan di antara peranti yang menyokong sistem SmartThings Samsung.

Selain Samsung, Oppo, Vivo dan Xiaomi juga telah bersetuju menyeragamkan sistem penghantaran fail dengan pantas pada peranti keluaran mereka. Sistem Mobile Direct Fast Exchange akan diperkenalkan pada peranti Oppo terlebih dahulu Februari ini.

Komen