Kerjasama di antara Samsung dan Microsoft membawakan satu lagi fungsi menarik kepada pemilik peranti kedua-dua syarikat besar ini. Microsoft mengesahkan fungsi salin dan tampal (copy and paste) kini boleh dilakukan secara rentas platform di antara telefon pintar Samsung dan komputer yang menggunakan Windows 10,
Pada waktu ini ciri ini hanya disokong pada Samsung Galaxy Z Flip, Galaxy S20, Galaxy S20+ dan Galaxy S20 Ultra. Untuk menggunakannya, sebuah komputer Windows 10 perlu memasang aplikasi Your Phone yang dilancarkan tahun lalu. Pengguna boleh menyalin tampal teks dan gambar secara dua hala pada peranti Android Samsung dan komputer Windows 10. Sungguhpun begitu saiz gambar dihadkan ke 1 MB sahaja pada waktu ini.
Kepada pengguna peranti Android lain, Your Phone boleh digunakan untuk memaparkan notifikasi, membaca mesej dan melihat kandungan peranti terus dari Windows 10. Di masa hadapan Microsoft akan membenarkan pula panggilan telefon dilakukan menerusi Your Phone.