Cari @ Amanz

Selepas mengalami kerugian, HTC mengurangkan tumpuan kepada penghasilan telefon pintar sebaliknya menggandakan usaha memasarkan peranti realiti maya Vive mereka. Mereka kini telah berkongsi pula rekaan dua peranti realiti berhubung di bawah Project Proton.

Dua peranti realiti berhubung ini mempunyai rekaan yang lebih padat berbanding Vive Focus Plus dan Vive Cosmos. Rekaan peranti pertama Project Proton ialah dari jenis kendiri dengan komponen pemproses diletakkan pada bahagian belakang kepala. Ini membolehkan pemakai bergerak bebas secara 6DOF tanpa perlu risau masalah wayar berselirat. Dengan komponen pemproses diletakkan pada bahagian belakang kepala pula rekaan ini akan menyebarkan berat dengan lebih seimbang berbanding Vive terdahulu yang berat ke hadapan.

Rekaan sekunder Project Proton pula adalah dari jenis yang disambung kepada peranti pintar atau komputer berkuasa tinggi. Panel hadapan yang meletakkan skrin serta kamera masih sama seperti rekaan pertama tadi tetapi dengan tangkai sisi seakan kaca mata konvensional.

Kedua-dua peranti Project Proton masih sekadar konsep pada waktu ini. Dengan kemajuan teknologi sejak akhir-akhir ini, peranti realiti maya bersaiz kecil ini sudahpun boleh dihasilkan seperti beberapa peranti demo yang telah diperlihatkan Qualcomm tahun lalu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd