Cari @ Amanz

Redmi pada asalnya adalah salah satu siri peranti kelas pertengahan Xiaomi. Ia kemudiannya diasingkan menjadi jenama lain dan mempunyai pelbagai variasi peranti, termasuk peranti mercu. Peranti ini turut menarik perhatian ramai orang, kerana harganya adalah mampu milik dan menawarkan spesifikasi yang hebat berbanding peranti-peranti pesaing. Tahun ini, Redmi sudah pun melancarkan peranti baharu mereka- Redmi K30 4G dan Redmi K30 5G. Ia adalah peranti kelas pertengahan dengan skrin 120Hz LCD paling murah, sokongan 5G dan juga rekaan serba baharu.

Peranti Redmi seterusnya adalah Redmi Note 9 yang akan dilancarkan pada 12 Mac dan juga pengganti Redmi K20 Pro – Redmi K30 Pro yang turut akan dilancarkan pada bulan ini.

Redmi K30 Pro

Mengejutkan, pihak XDA telah menemui dua peranti baharu dalam siri Redmi yang tersenarai dalam kod MIUI 11 versi China. Ia adalah variasi baharu yang tidak pernah dilancarkan sebelum ini. Peranti ini adalah Redmi K30 Pro Zoom Edition dan Redmi 10X 4G.

Untuk Redmi K30 Pro Zoom Edition, dengan jelas ia akan memfokuskan kepada kemampuan zum yang lebih baik berbanding K30 Pro biasa. Ini bermakna, ia mungkin akan menyertakan lensa telefoto yang hebat atau mungkin juga kamera periskop.

Untuk Redmi 10X 4G pula, ia adalah yang pertama untuk Redmi mempunyai nama “X” di belakang nama peranti. Sebelum ini di China, peranti dalam siri Mi 5 dan Mi 6 sudah mempunyai variasi Mi 5X dan Mi 6X. Walau bagaimanapun, masih tidak pasti jika ia adalah peranti dengan kemampuan zum 10x atau versi Redmi 10 yang lebih murah. Dengan penggunaan nama 4G pada, ia mencadangkan yang variasi 5G turut mungkin sedang dibangunkan.

Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan kejutan dari Xiaomi sepanjang bulan ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd