5 Perkara Mengecewakan Pada Huawei P40

5 Perkara Mengecewakan Pada Huawei P40

Diterbitkan pada Mac 27, 2020 oleh .

Semalam Huawei P40. P40 Pro dan P40 Pro+ telah dilancarkan secara rasmi dan sekali lagi mempertaruhkan kepakaran Huawei serta Leica untuk menarik perhatian pengguna. Tahun lalu P30 Pro mengejutkan landskap dunia peranti mudah alih dengan pengenalan sistem zum nirhilang yang terbaik di dalam kelasnya.

Mereka mencuba sekali lagi tahun ini tetapi kami menyedari terdapat beberapa kekurangan yang nyata dalam strategi Huawei tahun ini. Berikut ialah lima perkara yang kami rasakan mengecewakan pada Siri P40.

Baca – 5 Perkara Menarik Pada Siri Huawei P40


1. Kirin 990 5G Bukanlah Pemproses Terbaik Di Pasaran

Cip HiSilicon Kirin 990 5G diumumkan pada bulan September 2019. Selepas enam bulan, ia bukan lagi cip paling berkuasa untuk peranti mercu Android di pasaran kerana telah dipintas Snapdragon 865, Ini meletakkan ketiga-tiga model P40 di belakang peranti seperti Xiaomi Mi 10, Oppo Find X2 Pro dan Redmi K30 Pro. Pengguna kini semakin bijak dalam memilih peranti dan cakna mengenai pemproses yang terbaik di pasaran.

Kirin 990 5G kini terletak di belakang A13 Bionic, Snapdragon 865 dan Exynos 990 dari segi kemampuan memproses. Dengan harga jualan di Eropah yang setanding dengan harga jualan peranti pesaing, adalah agak sukar untuk kebanyakan pengguna membeli peranti Huawei apabila prestasi pemproses adalah tidak setanding.

Tidak seperti Qualcomm dan Samsung, Huawei tidak menghasilkan dua cip mercu setahun. Strategi ini mungkin selamat digunakan tiga tahun lalu tetapi kini menjadi liabiliti kepada pengeluar telefon pintar dengan pegangan pasaran kedua terbesar 2019.

2.Pilihan Storan Dan RAM Yang Kecil

Tahun lalu kami merungut apabila Mate 30 Pro sekadar ditawarkan dengan memori sebesar 8GB RAM dan storan maksimum 256GB. Rungutan dilakukan kerana sejak tahun lalu, memori sebesar 12GB sudah mula ditawarkan pada peranti mercu Android dan 8GB pula lebih layak untuk peranti kelas pertengahan.

Storan yang kecil mungkin tidak akan dilihat sebagai masalah sekiranya P40 menyokong kad mikro SD tetapi mereka menggunakan format tersendiri NM card. Kad ini bukan sahaja lebih sukar ditemui tetapi dijual pada harga yang lebih mahal. Harga jualan hampir dua kali ganda untuk kapasiti kad yang sama berformat mikro SD.

Kita kini di bulan Mac 2020 dan peranti mercu Android dengan memori 16GB RAM telah mula ditawarkan. Huawei P40 Pro+ yang merupakan model paling premium hanya dilengkapi memori sebesar 8GB RAM tetapi dijual pada harga sekitar RM6600 sebuah. Tiada langsung usaha untuk menawarkan spesifikasi terbaik pada peranti premium mereka dan ini adalah mengecewakan kerana Huawei sebelum ini mempunyai reputasi sebagai pengeluar yang menawarkan nilai yang baik pada harga mampu milik.

3.Kapasiti Bateri Yang Kecil

Kapasiti bateri P40, P4o Pro dan P40 Pro+ ialah 3800 mAh dan 4200 mAh. Tahun ini kapasiti bateri S20, S20+ dan S20 Ultra pula ialah 4000, 4500 dan 5000 mAh. Samsung menggunakan bateri berkapasiti besar kerana peranti mereka menyokong rangkaian 5G dan kadar segar semula 120Hz.

Saiz bateri P40 Pro adalah sama seperti P30 Pro tahun lalu. Masalah di sini ialah skrin P4o Pro dan P4o Pro+ adalah lebih besar berbanding P30 Pro (6.58″ vs 6.47″) serta menyokong kadar segar semula lebih tinggi (90Hz vs 60Hz). Skrin lebih besar dengan kadar segar semula lebih tinggi dan bateri bersaiz kecil adalah kombinasi yang merisaukan bagi sebuah peranti mercu 2020

4. Skrin – Kuad-Lengkung Cantik Tetapi Tidak Praktikal

Selepas menggunakan skrin air terjun pada Mate 30 Pro, Huawei menggunakan pula skrin berteknologi kuad-lengkung pula pada P40 Pro dan P4o Pro+. Menurut Huawei skrin dengan rekaan ini akan membuatkan peranti kelihatan cantik serta unik jika dibandingkan dengan peranti lain di pasaran. Kami tidak boleh menyangkal bahawa P40 Pro dan P40 Pr0+ adalah peranti yang cantik dipandang namun pada waktu yang sama ia turut menjadikannya kurang praktikal.

Kini keempat-empat sisi skrin peranti lebih terdedah kepada hentakan sekiranya terjatuh. Kerangka-kerangka yang dihasilkan menawarkan pelindungan yang kurang memuaskan. Skrin kuad-lengkung juga mengakibatkan video yang ditonton akan “melimpah” keluar ke bahagian sisi apabila ditonton dalam mod skrin penuh.

Ada sebab mengapa skrin air terjun tidak menjadi ikutan industri tahun lalu kerana menjadikan peranti licin serta permukaan sisi kaca yang terdedah. Dari pengalaman kami menggunakan P40 Pro, kami dapat merasakan skrin kuad-lengkung ini juga tidak akan menjadi ikutan ramai.  Samsung yang mempelopori penggunaan teknologi skrin lengkung juga telah mula beralih semula ke skrin yang lebih rata pada S20. Rekaan praktikal adalah lebih baik dari rekaan yang cantik semata-mata.

Satu lagi perkara kami rasakan mengecewakan ialah pada P40, skrin sekadar menyokong kadar segar semula 60Hz. Ini ialah peranti yang dijual pada harga mencecah Euro 799 (~RM3800) dan sepatutnya hadir dengan skrin 90Hz. Redmi K30 Pro dilengkapi dengan skrin 60Hz tetapi boleh dimaafkan kerana ia dipasarkan sebagai peranti mercu mampu milik. Xiaomi Mi 10 dan Samsung Galaxy S20 yang di dalam kategori yang sama seperti Huawei P40 kedua-duanya dilengkapi skrin 120Hz,

5. Bonjol Kamera Yang Besar

Dengan sehingga lima sensor digunakan pada sistem kamera, Huawei P40 Pro dan P40 Pro+ mempunyai saiz bonjol yang amat besar, Saiznya yang agak besar ini mendatangkan beberapa isu seperti peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja dan bahagian atas yang berat ketika dipegang di dalam tangan.

Adalah sukar untuk menggunakan peranti apabila ia diletakkan di atas meja. Ia terjungkang-jungkit apabila skrin ditekan. Ini ada kami sentuh di dalam artikel pandang pertama kami semalam. Saiz bonjol yang besar ini juga membuatkan peranti tidak digalakkan untuk digunakan tanpa kerangka. Permukaan kaca yang besar pada bonjol kamera ini amat terdedah kepada calar dan dalam jangka masa panjang boleh menimbulkan cela pada gambar yang diambil.

Masalah bonjol kamera yang semakin membesar akan berterusan kerana pengguna mahu melihat kemampuan kamera yang meningkat setiap tahun. Ia tidak akan berakhir sehingga sensor yang lebih kecil tetapi memberikan kemampuan yang sama seperti sensor lebih besar.

Ini adalah sebab mengapa Google berusaha keras menggunakan perisian untuk meningkatkan kemampuan fotografi peranti. Mereka menyedari penyelesaian menggunakan perkakasan akan mengakibatkan kos meningkat kerana penggunaan lebih banyak sensor dan bonjol yang besar.


In ialah senarai lima perkara yang kami rasakan mengecewakan pada siri Huawei P40. Adakah anda bersetuju? Sekiranya tidak atau anda mempunyai pendapat lain yang tidak disenaraikan sila kongsi pendapat anda di ruangan komen di bawah.


TIPS & ULASAN