Cari @ Amanz

Tahun 2019 ialah tahun yang cukup mencabar bagi Huawei kerana sekatan perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. Pelbagai sekatan yang dikenakan tidak mematahkan semangat Huawei untuk terus memberi yang terbaik buat pengguna. Terkini, Huawei telah pun mengemas kini barisan telefon pintar utama terbaru menerusi pengenalan siri Huawei P40.

Siri ini hadir dalam tiga pilihan model iaitu Huawei P40 Pro +, Huawei P40 Pro dan Huawei P40. Ketiga-tiganya dilihat membawakan pelbagai penambahbaikkan yang menarik termasuklah rekaan lebih canggih dengan inovasi kamera dipertingkatkan. Tetapi adakah peranti ini benar-benar berbaloi untuk dimiliki? Berikut ialah 5 perkara menarik yang ada ditawarkan pada siri Huawei P40.


1) Rekaan Baharu Yang Premium Dan Cantik

Tiada siapa ingin memiliki peranti yang tidak kelihatan cantik. Adalah fitrah manusia untuk mengahwini teman hidup yang cantik. kereta yang seksi dan peranti yang membuatkan mereka kelihatan bergaya. Sekiranya anda berkata rekaan peranti yang cantik adalah tidak penting, anda mungkin terdiri dari golongan minoriti yang amat kecil atau sebenarnya tidak jujur kepada diri sendiri.

Menerusi P40 Pro dan P40 Pro+, Huawei mencuba rekaan baharu Quad Curve Overflow Display. Keempat-empat bucu skrin melengkung dan amat berbeza dengan “wajah” peranti-peranti lain di pasaran. Selepas bertahun menerima kritikan kerana wajah peranti yang terlalu mirip dengan Samsung, P40 Pro dan P40 Pro+ kini mempunyai identitinya yang tersendiri.

Bagaimanapun kemasan panel belakang Huawei P40 Pro+ adalah yang paling menarik kerana diperbuat daripada seramik. Dengan tahap  ketahanan yang luar biasa pengguna tidak perlu bimbang mengenai masalah calar yang sinonim dengan panel kaca. Sebagai pemilik Mi MIX, kami boleh mengatakan panel seramik bukan sahaja tahan calar tapi kelihatan lebih seksi serta sejuk dalam genggaman. Pengalaman premium sebenar dapat dinikmati pada peranti dengan kemasan seramik ini.

2) Penta-Kamera Dengan Zum Sehingga 100X

Siri P ialah untuk Photography dan seperti dijangka tumpuan yang lebih diberikan kepada kemampuan kamera. Tahun ini sokongan zum sehingga 100X akhirnya dapat dilakukan pada P40 Pro+. Ia juga adalah peranti pertama di dunia yang dilengkapi dua kamera telefoto yang juga menjadikannya yang pertama dari Huawei dengan sistem penta-kamera. Kamera telefoto pertama melakukan zum optikal sehingga 3X manakala kamera telefoto kedua melakukan zum optikal sehingga 10X.

Untuk mengecapi tahap zum yang melampau ini, Huawei memperkenalkan mekanisme periskop multi-pantulan pertama di pasaran. Ini menurut mereka menghasilkan zum yang lebih tajam dan terang. Pada model P40 Pro biasa, kemampuan zum sehingga 50X masih lagi menakjubkan untuk tahun 2020 dan adalah yang pertama menggunakan sensor RYYB.

Sensor 50-Megapixel 1/1.28″ yang digunakan pada ketiga-tiga peranti mercu Huawei ini juga adalah yang terbesar pada telefon pintar. Sedikit lebih besar berbanding sensor 1/1.33″ yang digunakan pada Galaxy S20 Ultra. Di atas kertas ini membolehkan lebih banyak cahaya ditangkap oleh sensor sekaligus menghasilkan gambar yang lebih terang dan imej yang lebih tajam.

3) Sistem Operasi EMUI 10.1 Dengan Ciri-Ciri Menarik

CeliaKesemua model HUAWEI P40 dibekalkan dengan sistem operasi terbaru, EMUI 10.1 berasaskan Android 10 secara terus daripada kotak. Bagaimanapun, peranti ini tidak mempunyai perkhidmatan Google di dalam sistem operasi Android. Sebaliknya, ia menawarkan perkhidmatan aplikasi tersendiri iaitu Huawei Mobile Services dengan Huawei App Gallery. Antara ciri baharu yang menarik pada sistem operasi ini adalah :

  • Huawei MeeTime: Aplikasi panggilan video secara terbina pada peranti pintar Huawei. Melaluinya, pengguna boleh membuat panggilan telefon dari peranti Huawei ke Huawei secara percuma dengan menggunakan sambungan Internet. Ia menawarkan kualiti gambar yang jelas meskipun pada pencahayaan rendah. Pengguna juga boleh berkongsi skrin ke paparan lain ketika panggilan video.
  • Multi-Screen: Pengguna boleh menjawab panggilan video secara langsung melalui PC dan menggunakan aplikasi pada komputer riba untuk membuka fail pada peranti pintar untuk produktiviti yang dipertingkatkan.
  • Huawei Share: Memudahkan pemindahan fail berkelajuan tinggi antara peranti pintar dan peranti lain seperti tablet atau PC. Pengguna juga boleh menstrimkan muzik kepada pembesar suara pintar menerusi sambungan Wi-Fi.
  • Hey Celia: Pembantu digital maya seakan sama seperti Siri dan Google Assistant. Ia boleh digunakan untuk membuat panggilan, menghantar mesej, membuat pintasan pantas dan sebagainya.

4) Sistem Pengecasan Pantas Yang Mantap

Salah satu ciri menarik lain pada siri Huwei P40 adalah sokongan teknologi Huawei SuperCharge 40W yang terdapat pada P40 Pro dan P40 Pro + yang mana berupaya menjanjikan proses mengecas yang jauh lebih pantas. Selain itu, P40 Pro + juga menyokong teknologi pengecasan tanpa wayar, Huawei SuperCharge 40W Wireless yang terpantas di dunia dan pengecasan berbalik yang mampu mengecas peranti pintar lain.

Sistem pengecasan yang pantas ini adalah amat perlu kerana sebuah telefon pintar hanya akan kekal pintar selagi ia berbateri. Dengan pengecasan yang pantas, bateri boleh dicas sepenuhnya dari sifar dalam masa sekitar sejam sahaja. Masalah pengecas nirwayar yang perlahan juga diselesaikan.

5)  Sistem Biometri Yang Dipertingkatkan

Siri Huawei P40 menyokong dua sistem pengecaman biometeri iaitu pengimbas cap jari terbina dalam skrin dan imbasan wajah. Prestasi sistem pengimbas cap jari ini telah dipertingkatkan supaya lebih pantas sehingga 30 peratus. Sistem pengimbas cap jari optikal tahun lalu adalah sedikit perlahan kerana

Apa yang kami rasakan lebih menarik ialah sistem imbasan wajah kini dipertingkatkan dengan sokongan pemancar infra merah yang akhirnya membolehkan nyahkunci dilakukan dalam situasi yang gelap. Pada P30 Pro tahun lalu, sistem imbasan wajah tidak berfungsi apabila di dalam situasi yang amat gelap kerana tiadanya sistem infra merah. Dengan sokongan infra merah ini, sistem nyahkunci pada P40 kini hampir setanding dengan yang ditawarkan pada Mate 30 Pro tanpa takuk skrin bersaiz gergasi


Ini ialah lima perkara-perkara yang kami rasakan paling menarik pada Huawei P40, P40 Pro dan P40 Pro+. Kesemuanya diharap akan dapat menarik minat pembeli di dalam pasaran peranti yang amat mencabar tahun ini. Adakah usaha Huawei tahun ini berjaya menarik minat anda? Sila kongsikan pendapat peribadi anda di bawah. Jika ada fungsi menarik yang anda rasakan tidak kami senaraikan sila sertakannya di ruangan komen di bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd