Cari @ Amanz

NASA lebih sinonim dengan program menghantar angkasawan ke angkasa lepas tetapi ramai mungkin tidak menyedari mereka turut terlibat dalam ujian pesawat konsep masa hadapan. Antara projek NASA yang pernah kami laporkan ialah QueSST, pesawat penumpang supersonik yang lebih senyap berbanding Concorde. Antara projek merela yang menarik ialah X-57 Maxwell yang berkuasa elektrik sepenuhnya,

Mereka akhirnya berkongsi rekaan akhir X-57 yang diberi nama Modification IV. Ini ialah pesawat eksperimen (X-Plane) elektrik sepenuhnya pertama pernah dihasilkan NASA dan pertama dengan juruterbang dalam masa dua dekad.

Pesawat ini dilengkapi 12 motor elektrik kecil dengan kipas berdiameter 14-inci dan dua motor elektrik utama dengan kipas berdiameter 5 kaki pada hujung sayap. Untuk terbang ke udara dan mendarat, kesemua 14 motor elektrik akan digunakan. Apabila mencapai ketinggian yang dikehendaki, 12 motor elektrik akan dimatikan dan bilah kipas dilipat masuk ke dalam nacel bagi mengurangkan seretan aerodinamik.

Turut digunakan pada X-57 ialah rekaan sayap nipis yang mampu mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 50%. Sayap yang lebih nipis ini adalah hasil usahasama dengan Boeing. Sayap X-57 adalah 58% lebih nipis berbanding pesawat dengan saiz yang sama. NASA percaya dengan penggunaan motor elektrik dan sayap yang nipis, kecekapan penerbangan X-57 boleh mencecah 500% lebih baik berbanding pesawat dengan rekaan konvensional.

Prototaip X-57 Maxwell sedang dihasilkan di Armstrong Flight Research Center, California dengan ujian penerbangan pertama dijadualkan pada tahun ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd