Qualcomm meramalkan telefon pintar dengan kamera 100 Megapixel akan menjadi realiti sebelum berakhirnya 2019. Ini menjadi realiti dengan pelancaran Xiaomi Mi Note 10 Pro. Tetapi tahun ini telefon pertama dengan kamera 200-Megapixel semakin hampir menjadi realiti.
Menurut Digital Chat Station, telefon pintar pertama dengan kamera 192-Megapixel akan dilancarkan seawal bulan Mei dengan cip Snapdragon 765G. Ini sebenarnya tidak mengejutkan kerana Mi Note 10 Pro dengan sensor gergasi juga adalah sebuah peranti kelas pertengahan. Cip Snapdragon 765G yang diumumkan pada Disember tahun lalu mempunyai kemampuan menyokong sensor sebesar ini manakala Snapdragon 865 menyokong sehingga 200-Megapixel.
Pengeluar peranti ini masih lagi dirahsiakan. Sebelum ini terdapat laporan Samsung sedang membangunkan sensor 150-Megapixel. Jika pisang berbuah dua kali, tidak mengejutkan jika peranti 192-Megapixel ini mungkin turut dihasilkan oleh Xiaomi.