Xiaomi Mi Note 10 adalah telefon pintar kelas pertengahan Xiaomi yang premium. Ia juga merupakan peranti pertama yang menyertakan lensa 108MP yang dibina bersama-sama dengan Samsung.
Terkini, Ice Universe melaporkan yang Xiaomi mungkin akan hadir dengan telefon pintar yang mempunyai kamera sebesar 150MP pula. Lebih menarik, peranti ini dikatakan akan hadir pada tahun ini – iaitu pada suku keempat 2020. Masih tiada informasi lagi, peranti manakah yang akan menggunakan lensa ini. Tetapi, ada kemungkinan besar ia akan disertakan kepada peranti siri Mi CC. Mungkin Mi CC10? Bulan lepas, Xiaomi telah membuang senarai Mi CC9 dari laman web mereka di China. Jadi tidak mustahil untuk model baharu Mi CC menggunakan lensa ini bersama-sama dengan teknologi 5G.
Menurut laporan, Xiaomi akan menggunakan lensa yang dibina oleh Samsung. Bulan lepas, kami ada laporkan berita yang sensor ISOCELL 150MP mungkin akan diperkenalkan pad suku keempat tahun ini. Hasil rakaman gambar menggunakan sensor ini dijangka akan dimuatkan di bawah rakaman 16MP. Di samping itu, Samsung turut dikatakan sudah memulakan pembangunan lensa 250MP. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.