Facebook Masih Belum Melupakan Hasrat Untuk Pengenalan Iklan Di WhatsApp

Facebook Masih Belum Melupakan Hasrat Untuk Pengenalan Iklan Di WhatsApp

Diterbitkan pada Apr 24, 2020 oleh .

Facebook sebelum ini telah berkongsi perancangan untuk meletakkan pengiklanan di WhatsApp pada tahun 2020 ini. Tetapi, pada awal tahun, kita telah mendengar WhatsApp menangguhkannya sementara disebabkan beberapa perkara – dan ada beberapa yang mengatakan Facebook mungkin membatalkan niat mereka.

Hari ini, The Information berkongsi yang mana Facebook masih belum melupakan hasrat untuk pengenalan iklan di WhatsApp. Namun, sejumlah perkara perlu diambil-kira sebelum memperkenalkannya.

Sebelum ini, Facebook telah merancang untuk memperkenalkan ciri pengiklanan diantara perkongsian WhatsApp Status – salah satu ciri seumpama Instagram Stories. Dengan lebih 2 bilion pengguna seluruh dunia, semestinya ia akan menjadi salah satu lubuk pendapatan penting untuk gergasi media sosial berkenaan – apatah lagi dengan nilai berbilion ringgit yang dibayar pada 2014 untuk mendapatkan WhatsApp.

Apa pun, ia dikatakan ditangguhkan kerana terdapat masalah berkenaan bagaimana untuk menghimpunkan data pengguna. Seperti ramai sedia maklum, ramai menggunakan WhatsApp disebabkan ciri privasi dan sebagainya. Sekiranya pengiklanan ingin diperkenalkan, semestinya pengiklan tidak ingin membuat pemasaran secara rawak, dan ingin menujukan iklan mereka kepada pengguna dengan kriteria tertentu.


Hal berkenaan mungkin senang di Instagram dan Facebook – yang mana pengguna berkongsi dan mengikuti akaun dengan minat mereka. Perkara sebaliknya di WhatsApp.

Menurut laporan baru ini, Facebook dijangka hanya akan melihat kepada pengenalan iklan di WhatsApp selepas integrasi infrastruktur antara Facebook, Instagram dan WhatsApp. Hal berkenaan telah dikongsikan sebelum ini, dan dijangka akan memudahkan lagi penghantaran dan penerimaan mesej antara ketiga-tiga platform berkenaan.

Facebook Antara Mesej

Buat masa ini, WhatsApp menjana pendapatan yang sangat minima. Salah satunya adalah melalui penawaran akaun bisnes yang membolehkan syarikat gergasi untuk menghantar mesej dengan mudah kepada pengguna. WhatsApp turut melihat kepada beberapa ciri lain seperti pembayaran melalui permesejan, dan juga katalog untuk jual-beli – tetapi ia masih pada peringkat ujian awal lagi.

Baru-baru ini juga, Facebook telah membuat pelaburan pada Jio Platforms, dimana ingin mengintegrasikan sejumlah ciri perniagaan di WhatsApp dan memasarkannya dikalangan pengguna di India.

Ia tidak diketahui lagi bagaimanakah pihak Facebook akan memaksimakan pendapatan pada WhatsApp. Tetapi, boleh dikatakan ia suatu yang mencabar – terutamanya dalam menjaga keselesaan pengguna supaya terus kekal menggunakan perkhidmatan berkenaan. Mungkinkah WhatsApp perlu kembali seperti sebelum ini, dan mengenakan yuran langganan bulanan?



Paling Popular