Carian
Permohonan Pergerakan Antara Negeri Boleh Dilakukan ESOK Menerusi Aplikasi Gerak Malaysia
April 25, 2020 Effi Saharudin

Awal minggu ini kerajaan mengumumkan permohonan untuk melakukan pergerakan antara negeri boleh dilakukan bermula 25 April menerusi aplikasi Gerak Malaysia. Tetapi tarikh permohonan telah diubah pula ke hari esok 26 April. Pengguna kemudian perlu melakukan sebuah lagi kemas kini pada 29 April untuk mengesahkan destinasi perjalanan.

Selepas itu status sama ada permohonan anda diterima ataupun tidak boleh disemak secara atas talian pada 1 Mei. Sekiranya berjaya anda hanya boleh melakukan perjalanan dari 1 hingga 3 Mei sahaja.

Anda hanya perlu memuat turun aplikasi Gerak Malaysia dan mendaftarkan maklumat peribadi yang diminta oleh aplikasi. Selepas usai pendaftaran tekan butang Generate QR Code. Aplikasi akan meminta anda memberikan sebab mengapa ingin keluar dari rumah. Pilihan yang diberikan ialah kecemasan, menerima rawatan, aktiviti penting, membeli barangan dapur dan pergerakan di antara negeri.

Harus diingatkan permohonan bergerak antara negeri adalh untuk membolehkan mereka yang terperangkap di kampung semasa cuti sekolah untuk kembali ke kediaman masing-masing. Permohonan untuk balik ke kampung pada waktu ini masih tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa.

Tekan sahaja butang pergerakan antara negeri dan permohonan anda akan direkodkan. Sekiranya pilihan lain dipilih, kami menyedari sebuah kod QR akan diberikan dengan pemasa had 11 jam. Ini mungkin petanda kerajaan akan memerlukan rakyat menggunakan aplikasi ini setiap kali mereka melakukan perjalanan keluar dari rumah walaupun ia masih belum diumumkan oleh menteri kanan Datuk Seri Ismail Sabri.

Dikemaskini – Sebelum ini kami melaporkan permohonan boleh dilakukan hari ini tetapi menerusi ciapan rasmi Majlis Keselamatan Negara tarikh telah diubah ke hari esok.

Komen