Carian
Fairphone & /e/ Bekerjasama Untuk Menjual Peranti Fairphone 3 Tanpa GMS
April 30, 2020 Fahim Zahar

Fairphone adalah syarikat yang menghasilkan telefon pintar mesra alam. Bukan itu sahaja, peranti ini turut dihasilkan dengan cara yang menghormati hak asasi manusia. Peranti terkini mereka adalah Fairphone 3 yang dilancarkan pada tahun lepas, yang mana kesemua komponen dalaman peranti ini adalah modular, bateri boleh ditanggalkan, semua bahan adalah boleh dikitar semula dan bebas elemen eksploitasi.

Terkini, Fairphone telah bekerjsama dengan /e/ iaitu pasukan yang hadir dengan custom ROM bebas dari mana-mana perkhidmatan Google (GMS) agar menghormati privasi pengguna. Melalui kerjasama ini, peranti Fairphone 3 versi baharu akan menjalankan sistem operasi bebas Google ini. Harga jualan peranti ini adalah €479.90, iaitu sekitar RM2262. Harga jualannya adalah lebih mahal dari sebuah Fairphone 3 yang biasa. /e/ juga sebelum ini menjual peranti-peranti refurbished Samsung dengan mengubah sistem operasi asal ke custom ROM mereka.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang sudah memiliki Fairphone 3 atau yang berminat dengan custom ROM /e/ ini, fail imej sistem ini diberikan secara percuma dan boleh dipasang dengan sendiri. Terdapat 91 peranti lain seperti Essential PH-1, Google Pixel 2 XL, Nexus 6P, HTC 10, LG G5, semua peranti OnePlus dari One sehingga 7 Pro, Galaxy S9+, pelbagai peranti Xiaomi dan banyak lagi.

Mungkin bagi mereka yang skeptikal dengan sekuriti dari Google, peranti Fairphone 3 baharu ini atau custom ROM ini adalah sesuai untuk mereka. Bagi pengguna Huawei yang sudah biasa hidup tanpa GMS, peranti ini mungkin tidak akan menjadi aneh.

Komen