Cari @ Amanz

Huami adalah syarikat di sebalik peranti boleh pakai seperti Amazfit. Antara produk terkini mereka adalah Amazfit X dengan skrin melengkung. Dengan penularan wabak Covid-19 ini, Huami dilihat menyertai pelbagai syarikat teknologi lain – iaitu menghasilkan topeng muka.

Walau bagaimanapun, topeng muka Huami ini masih lagi konsep. Ia adalah salah satu projek kecil dalam projek Project uSmile:-). Projek ini adalah menjadikan pengguna lebih mesra dan berinteraksi secara sosial seperti biasa. Dengan penjagaan jarak antara satu sama lain dan penggunaan topeng muka. Wajah pengguna dilindungi. Jadi reaksi atau mimik wajah tidak dapat dilihat, contohnya senyuman. Oleh yang demikian melalui projek ini Huami hadir dengan projek Aeri.

Aeri adalah projek topeng muka N95 yang lutsinar. Ia bukan sahaja dapat melihat pengguna ukir senyuman, tetapi juga mesra digunakan bersama peranti yang menggunakan sistem sekuriti imbasan wajah seperti Face ID atau Face Unlock. Kita tahu yang menggunakan topeng muka, peranti tidak dapat mengecam wajah. Apple juga dikatakan ingin hadir dengan Face ID yang boleh digunakan bersama topeng muka. Terdapat dua jenis topeng muka, iaitu X dan Y yang kedua-duanya mempunyai pelindung lutsinar anti-kabus, kerangka lutsinar, pad penapis boleh ganti, kipas pengudaraan dan juga mempunyai cahaya UV terbina.

Topeng ini turut mempunyai port USB-C untuk menghidupkan cahaya UV bagi membasmi kuman-kuman atau bakteria. Topeng ini turut mempunyai kemampuan menukar jenis kipas pengudaraan, seperti yang turut boleh menjadi kipas penyejuk ketika cuaca panas dan/atau mempunyai sensor AQI untuk melihat kualiti udara dalam masa nyata.

Buat masa ini, topeng muka ini masih lagi konsep dan tidak pasti bila Huami akan menghasilkannya untuk dijual kepada pengguna.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd