Redmi Note 9 dilancarkan semalam dengan cip baharu MediaTek Helio G85. Seperti biasa apabila cip baharu diperkenalkan, ramai akan mempunyai persoalan tentang spesifikasi dan apakah perbandingannya dengan cip terdahulu. Berdasarkan spesifikasi yang dikongsi ketika pelancaran Redmi Note 9, Mediatek Helio G85 ialah MediaTek Helio G80 dengan GPU yang sedikit lebih pantas.
MediaTek Helio G85 dihasilkan menggunakan teknologi 12nm dengan lapan teras dengan dua teras Cortex A75 pada kelajuan 2.0GHz dan enam teras Cortex A55 pada kelajuan 1.8GHz. GPU yang digunakan pula ialah Mali G52 pada kelajuan 1000 MHz, 50 MHz lebih pantas berbanding yang digunakan pada Helio G80.
Kerana perubahan yang kecil ini besar kemungkinan Helio G85 turut menyokong memori sehingga 8GB LPDDR4, skrin FHD+ 60Hz, menyokong satu kamera 48MP atau dwi-kamera 16-MP. Apa yang dilakukan oleh MediaTek bukanlah sesuatu yang baharu. Sebelum ini MediaTek Helio G80 tu sendiri sama dengan Helio G70 cuma dengan kelajuan teras yang lebih tinggi.