Rekaan Samsung Galaxy BudsX yang tertiris beberapa minggu yang lalu menjadi perbualan di atas talian kerana ia kelihatan seperti sepasang kacang. Saiznya juga lebih besar jika dibandingkan dengan Galaxy Buds+. Ini besar kemungkinan kerana ia bakal mengembalikan fungsi yang pernah diberikan kepada Gear IconX sebelum ini iaitu pemain muzik MP3 terbina.
Sokongan fungsi ini pada Galaxy BudsX tertiris selepas tanda dagang untuk fon telinga nirwayar ini didaftarkan. Terdapat penerangan tanda dagang ini akan digunakan pada fon telinga nirwayar boleh-pakai dengan pemain muzik MP3 terbina.
Sebagai pemilik IconX, ini ialah fungsi yang amat kami rindukan pada Buds+ kerana ia memerlukan tambatan kepada telefon pintar sepanjang masa untuk menstrim muzik. IconX adalah fon telinga nirwayar dengan storan 4GB yang membolehkan ribuan fail MP3 disimpan. Galaxy BudsX mungkin akan dilancarkan bersama Note 20 pada Ogos hadapan.