Memandu dengan laju adalah antara punca kematian tertinggi di atas jalan raya. Adalah normal untuk melihat pelesit jalan raya memandu dengan laju kerana ia mengujakan dan untuk menguji kemampuan kenderaan. Tetapi sekiranya anda ingin memiliki kenderaan buatan Volvo, halaju kenderaan kini dihadkan ke 180 kilometer sejam sahaja.
Bermula hari ini kesemua kenderaan yang dikeluarkan oleh Volvo akan dihadkan kelajuan maksimumnya menerusi perisian. Idea menghadkan halaju ini diumumkan tahun lalu dan menerima tentangan dari pengguna. Tetapi Volvo melihat pengeluar kenderaan mempunyai tanggungjawab menghasilkan kenderaan yang selamat untuk digunakan dan ini ialah antara langkah yang dilakukan.
Turut disertakan pada setiap kenderaan baharu ialah perisian Car Key yang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk menetapkan kelajuan maksimum yang dipandu anak misalnya. Volvo ialah pengeluar kenderaan yang banyak melakukan inovasi seperti tali pinggang keledar dan kenderaan kalis maut XC90 empat tahun lalu.