Cari @ Amanz

Sony melancarkan Xperia 1 II pada bulan Februari lalu secara atas talian selepas MWC Barcelona dibatalkan kerana Covid-19. Selepas hampir lima bulan, pra-tempahan peranti mercu Sony tahun ini akhirnya dibuka di Eropah dan Amerika Syarikat pada harga $1200 (~RM5236) sebuah. Ini ialah harga jualan yang sangat premium tetapi mereka yang menempah awal akan menerima sepasang fon telinga Sony WF-10000XM3 secara percuma.

Sony Xperia 1 II dilengkapi skrin 6.5 OLED 4K HDR, dijana cip Snapdagon 865, memori sebesar 8GB RAM, storan 256 GB, kamera utama  12+12+12+3D TOF, kamera hadapan 8MP dan bateri sebesar 4000 mAh. Kamera utama menggunakan lensa Zeiss dengan kepakaran yang dipelajari dalam menghasilkan kamera Sony Alpha. Pengumuman ini adalah tidak dijangka kerana selama ini lensa Zeiss lebih sinonim dengan telefon pintar keluaran Nokia.

Peranti menyokong rangkaian selular 5G Sub 6, pengecasan secara nirwayar Qi dan mempunyai tahap ketahanan kalis air IP 68. Skrin memanjang 21:9 dikekalkan pad peranti pengganti Xperia 1 ini. Pilihan warna pula adalah hitam, putih dan ungu.

Kemampuan audio juga menarik kerana penggunaan sistem audio stereo pada bahagian hadapan dan juga bicu audio 3.5mm. Tidak seperti pengeluar lain Sony mengembalikan semua bicu audio pada peranti mercu mereka tahun ini. Sistem imbasan cap jari nampaknya masih lagi terletak pada bahagian sisi tetapi terbina pada butang kuasa.

Sony Xperia 1 II telah mula ditawarkan tetapi Sony Xperia Pro masih lagi misteri. Sekiranya anda ingat, Xperia Pro ialah versi yang lebih premium untuk kegunaan juruvideo profesional lengkap dengan port mikro HDMI terbina.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd