Tiada angin tiada hujan, tiba-tiba sahaja terdapat ketirisan maklumat mendedahkan Sony berkemungkinan dalam perancangan untuk memperkenalkan produk baru lagi. Ia berikutan adanya desas-desus yang mengatakan peranti misteri Sony dengan kod model Sony 7Y6DU1I telah ditemui di laman penanda aras Geekbench.
Penyenaraian tersebut memperlihatkan peranti ini mungkin menggunakan cip pemproses Snapdragon 865 (berdasarkan kod nama Kona) yang digabungkan dengan memori 8GB RAM dan perisian Android 10 terkini. Tiada maklumat lain mengenai spesifikasi yang didedahkan buat masa ini. Namun dengan pendedahan ini, ia dapat memberikan gambaran kasar bahawa kita bakal melihat sebuah lagi peranti daripada Sony yang menggunakan Snapdragon 865 selepas Sony Xperia 1 II.
Tahun lalu Xperia 5 telah dilancarkan pada bulan September dengan Snapdragon 855. Maka besar kemungkinan peranti misteri ini ialah Xperia 5 II. Seperti biasa, maklumat dikongsi masih di peringkat ura-ura ura-ura awal, tanpa sebarang komen daripada pihak Sony. Mungkin kita akan mendengar lebih banyak mengenainya pada masa akan datang.