Tahun lalu era 5G akhirnya bermula di negara seperti China, UK dan Amerika Syarikat. Peranti 5G generasi pertama bukan sahaja mengejutkan dunia dengan kelajuan muat turun selular yang amat pantas tetapi juga dengan harga jualan peranti yang lebih tinggi berbanding peranti 4G. Oleh itu peranti 5G yang mampu milik adalah perlu untuk memastikan kejayaan awal teknologi ini.
Gelombang pertama peranti 5G kelas pertengahan muncul pada Disember tahun lalu pada harga yang secara sopan kami kategorikan sebagai tidak mampu milik. Maka tidak mengejutkan peranti seperti Oppo Reno3 Pro dan Realme X50 5G yang menggunakan Snapdragon 765G masih tidak dipasarkan di Malaysia selepas lebih enam bulan dilancarkan di China. Strategi pengeluar adalah amat berbeza sekali di Malaysia kerana mereka tidak mempunyai masalah memasarkan peranti mercu 5G di negara kita walaupun pada harga lebih tidak mampu milik.
Oleh itu kemunculan Huawei Nova 7 SE di Malaysia beberapa minggu yang lalu adalah mengejutkan. Ia adalah peranti kelas pertengahan 5G pertama di pasaran Malaysia dengan harga jualan hanya RM1499. Mengejutkan kerana ini adalah harga yang lebih rendah berbanding beberapa peranti kelas pertengahan 4G yang dipasarkan oleh pesaing mereka.
Mungkin ada yang mengatakan harga peranti adalah mampu milik kerana pemproses yang kurang berkuasa. Namun realitinya ialah HiSilicon Kirin 820 yang menjadi enjin Nova 7 SE dihasilkan menggunakan teknologi 7nm seperti Kirin 990 5G, Snapdragon 865 dan Snapdragon 765G. Pada waktu yang sama CPU pada Kirin 820 mempunyai konfigurasi teras yang lebih berkuasa jika dibandingkan dengan Snapdragon 765G.
Kirin 820 menggunakan konfigurasi kluster 1+3+4 – Satu teras Cortex A76 pada kelajuan 2.36 GHz, tiga teras Cortex A76 pada kelajuan 2.22 GHz dan empat teras Cortex A55 pada kelajuan 1.8 GHz.
Snapdragon 765G pula menggunakan konfigurasi kluster 1+1+6 – Satu teras Kryo 475 Prime (berasaskan Cortex A76) pada kelajuan 2.4 GHz, tiga teras Kryo 475 Gold (berasaskan Cortex A76) pada kelajuan 2.2 GHz dan enam teras Kryo 475 Silver (berasaskan Cortex A55) pada kelajuan 1.8 GHz.
Di atas kertas Kirin 820 mempunyai kelebihan kerana mempunyai empat teras Cortex A76 yang lebih berkuasa. Kelebihan di atas kertas ini terbukti di dunia sebenar menerusi beberapa markah penanda aras Geekbench. Markah ujian satu teras dan multi teras, cip keluaran HiSilicon ini secara konsisten adalah lebih tinggi.
Tetapi kami tahu ramai di kalangan pembaca yang sangat skeptik dengan ujian sintetik. Di dalam penggunaan sebenar, prestasi peranti terutamanya ketika menjalankan permua juga adalah amat memberangsangkan. Dengan empat teras A76, kemampuan Kirin 820 hampir menyamai peranti mercu separuh tahun pertama 2019.
Maka tidaklah mengejutkan juga Kirin 820 ini menjadi silikon pilihan untuk portfolio peranti kelas pertengahan 5G Huawei seperti Huawei P40 Lite 5G, Honor 10X dan Honor 30S.
Dengan kemunculan Huawei Nova 7 SE, adakah Huawei akan menghentikan pengeluaran peranti 4G? Di dalam acara Huawei 5G APAC Media Salon yang berlangsung penghujung Mei lalu, kami sempat menanyakan soalan ini kepada Kevin Ho yang merupakan presiden barisan produk telefon Huawei. Menurut beliau, Huawei masih akan memasarkan peranti 4G pada harga mampu milik. Tetapi pada waktu yang sama peranti 5G seperti Nova 7 SE dipasarkan di negara yang masih belum mempunyai rangkaian 5G untuk mereka yang ingin melakukan persediaan awal.
Ini menjawab persoalan kebanyakan pengguna sama ada berbaloi untuk membeli peranti 5G di Malaysia pada pertengahan tahun 2020 sedangkan pengenalan rangkaian ini dijadualkan berlaku pada tahun 2021. Jawatan kami adalah agak mudah. Membeli sebuah peranti 5G pada tahun 2020 yang ditawarkan pada harga yang sama dengan peranti 4G adalah pilihan yang lebih bijak.