Trend peranti pintar dengan penawaran cip pemproses tersendiri oleh pengeluar telah lama wujud. Kita ada Huawei dengan cip pemproses Kirin, Samsung dengan cip pemproses Exynos dan Apple dengan cip pemproses siri ‘A’.
Xiaomi juga dikhabarkan bakal mengikut langkah yang sama selepas adanya desas-desus mengatakan mereka akan menggunakan cip pemproses tersendiri untuk peranti akan datang. Mereka dikatakan bakal bekerjasama dengan pihak MediaTek untuk penghasilan pemproses ini. Akan tetapi, perkara ini masih di peringkat ura-ura dan belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Xiaomi atau MediaTek berhubung perkara ini. Tapi, jika ianya benar kita akan dapat lihat peranti akan datang Xiaomi akan dijana oleh cip mereka sendiri.
Sebenarnya ini bukan pertama kali Xiaomi mempunyai perancangan sebegini, sebaliknya sebelum ini mereka telahpun memperkenalkan cip pemproses sendiri dikenali dengan nama Surge S1 tiga tahun lalu. Ia kemudian digunakan pada Mi 5c tetapi tiada cip baharu dilancarkan selepas itu.
Kolaborasi antara Xiaomi dan MediaTek juga sudah tidak asing, malah ia bermula sejak pengenalan Redmi Note 8 Pro yang merupakan peranti pertama dijanakan oleh MediaTek Helio G90T. Diikuti pula dengan Redmi X10 yang menjadi peranti pertama dengan cip MediaTek Dimensity 820.