Cari @ Amanz

Pada bulan Februari tahun lepas, Facebook telah mengumumkan cadangan untuk gabungkan sistem pemesejan WhatsApp, Facebook Messenger dan Instagram dibawah satu sistem yang sama – sekaligus memudahkan pengguna disesuatu platform untuk berinteraksi dengan rakan-rakan di platform lain. Sebagai contoh, anda di WhatsApp, boleh berkomunikasi dengan rakan-rakan di Instagram tanpa perlu ke aplikasi lagi satu.

Selari dengannya, kini Facebook dilihat sedang melakukan integrasi awal untuknya. Melalui kod pembangunan baru pada Facebook Messenger, kod awal untuk integrasi WhatsApp telah mula kelihatan. Perkara sama juga didapati pada Instagram yang dilihat telah mula mengintegrasikan Facebook Messenger pada bahagian Instagram Direct.

Pada WhatsApp sendiri, ia dilihat kenalan dan rakan-rakan akan kelak dapat diselarikan dengan kenalan di Messenger. Pengguna juga turut boleh berinteraksi dengan mudah antara rakan-rakan di kedua-dua platform, selain mnegawal notifikasi dan sebagainya. Pihak Facebook dijangka akan mengekalkan sokongan penyulitan penuh antara platform – sekaligus memastikan pelbagai komunikasi kekal selamat tanpa diceroboh pihak ketiga.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Facebook akan memperkenalkan integrasi ini pada ke tiga-tiga platform ini. Langkah ini semestinya akan memudahkan komunikasi antara pengguna dengan lebih senang tanpa perlu meninggalkan sesuatu aplikasi. Sebelum ini, Facebook telah pun mengintegrasikan ciri Messenger Rooms pada WhatsApp dan Instagram.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd