Adakah anda perasan atau tidak, kebanyakan peranti masa kini dilengkapi dengan sokongan kamera swafoto yang memiliki pilihan sudut ultra lebar. Ciri ini sebenarnya memudahkan pengguna untuk merakam gambar secara berkumpulan dan tidak perlu lagi bersusah payah menggunakan kayu swafoto untuk mendapatkan posisi sudut yang betul.
OnePlus Nord juga bakal memiliki ciri yang sama dan ia dikatakan akan menyokong sudut pandang sehingga 105 darjah. Ia sekaligus menjadikan sesebuah foto yang diambil kelihatan lebih menyeluruh. Spesifikasi sebelum ini mendedahkan OnePlus Nord akan disertakan dwi kamera hadapan dengan gabungan lensa 32-Megapixel + 8-Megapixel. Kamer utamanya pula akan disertakan dengan lensa 48-Megapixel + 8-Megapixel + 2-Megapixel + 5-Megapixel.
Walau bagaimanapun, segala-galanya akan terbongkar dalam acara perasmian kelak pada 21 Julai ini. Dalam pada itu, OnePlus juga disahkan akan memperkenalkan OnePlus Buds pada acara yang sama.