Setakat hari ini rasanya, Google belum pernah menghasilkan sebarang peranti dengan skrin kadar segar semula tinggi 120Hz. Namun begitu, mereka masih memiliki peranti yang menyokong skrin dengan kadar segar semula 90Hz melalui model Google Pixel 4 dan Pixel 4 XL. Akan tetapi, tetapan yang digunakan adalah jenis boleh-ubah – yang mana 90Hz hanya berfungsi jika kecerahan pada skrin adalah pada tahap maksimum.
Terkini, muncul sebuah laporan mendakwa Google juga tidak mahu ketinggalan dalam penawaran peranti dengan skrin segar semula tinggi 120Hz. Ia berikutan tersebar, sebuah hantaran yang mendakwa peranti Pixel seterusnya akan didatangkan dengan skrin 120Hz. Selain itu, ia juga dipercayai membawakan paparan besar berukuran 6.67 dan ia dikatakan akan menggunakan panel daripada Samsung dan BOE. Jenis panel digunakan tidak pula dikongsi pada hantaran tersebut. Peranti ini juga dikatakan akan menyertakan sokongan rangkaian 5G secara terbina.
Pelbagai andaian mula timbul dan ramai yang mengaitkannya dengan Google Pixel 5 – ekoran daripada tiada sebarang informasi jelas mengenai peranti ini. Sebaliknya, Google dilihat sekadar mengacah sahaja. Pun begitu, mesra diingatkan maklumat dikongsi masih lagi di peringkat ura-ura.
Imbas kembali, Google sebelum ini telah memperkenalkan Pixel 4a. Ia didatangkan dengan spesifikasi pertengahan dan kemas kini sistem operasi secara terus daripada Google.