Cari @ Amanz

Android TV semakin hari semakin ditambah baik agar menepati citarasa orang ramai. Ya, pada kami sistem operasi yang lancar dan menarik adalah WebOS kerana ia ringan dan kekal menyokong banyak aplikasi. Android TV boleh dikatakan sedikit berat, kerana Google Play Services sentiasa berjalan di latar. Minggu lepas, Android TV dikemaskini dengan sokongan karusel video acah dan iklan – minggu ini Google tambah lagi ciri menarik yang amat berguna.

 Google Play Instant, iaitu kaedah mencuba sesuatu aplikasi sebelum membeli atau memasang yang sudah lama ada pada peranti Android – kini akan tiba ke Android TV. Pengguna hanya perlu ke Play Store, cari aplikasi yang diminati dan tekan “Try Now”. Walau bagaimanapun, pembangun aplikasi tersebut perlu menyokong fungsi ini. Seperti telefon, Android TV kelak akan menyokong pembelian pada Play Store atau mana-mana perkhidmatan yang perlu dibayar dan ada kaitan dengan kaedah pembayaran Google – menyokong pembayaran melalui pin dan tidak lagi memerlukan kata laluan.

Gboard pada Android TV turut akan dikemaskini dengan antaramuka baharu dan menyokong menaip menggunakan suara. Papan kekunci ini pada Android TV sekarang agak menjengkelkan, jadi dengan perubahan ini ia akan menjadi lebih baik dan mudah. Android TV berasaskan Android 10 juga akan menyokong mod permainan yang akan menjanjikan masa pendam rendah. Dalam kemas kini baharu, ia akan mengenalpasti permainan apa dan tetapan paparan akan dilaras mengikut keadaan.

Bila ia akan tiba? Itu tidak pasti lagi, harapnya sebaik sahaja dongel Android TV Google Sabrina lancar – ia akan hadir pada semua peranti Android TV.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd