Carian
Huawei Mempatenkan Peranti Dengan Pengimbas Cap Jari Pada Keseluruhan Skrin
August 12, 2020 Amy Maizuraa

Peredaran masa dan kecanggihan teknologi yang kian pesat membangun mengajar kita pelbagai norma baharu dalam industri ini. Ketika ini, kita dapat lihat banyak pengeluar peranti pintar seakan memfokuskan pada sistem keselamatan yang lebih menyeluruh tetapi mudah untuk digunapakai.

Selepas TCL dan Tianma dikatakan berjaya menghasilkan teknologi pengimbas cap jari pada keseluruhan skrin, kini giliran Huawei pula mencuri perhatian ramai selepas tersebar laporan mengatakan ia turut mempatenkan peranti dengan teknologi yang sama. Meskipun, masih diperingkat paten. Namun, kelebihan yang ditawarkan oleh Huawei dilihat cukup menarik.

Di mana, ia membolehkan pengguna menyahkunci peranti dengan menyentuh mana-mana bahagian skrin peranti. Tidak terhad sekadar itu sahaja, pengguna juga boleh memilih untuk mengaktifkan fungsi ini terhad pada sebahagian paparan. Sekaligus, hanya membolehkan peranti dinyahaktifkan pada bahagian yang ditetapkan sahaja. Ia dilihat bukan sahaja menarik, bahkah turut membantu dalam penjimatan bateri peranti berbanding tetapan pada keseluruhan skrin.

Melaluinya juga, menyahkunci aplikasi turut dapat dilakukan dengan mudah dan secara terus tanpa perlu klik pada ikon aplikasi kemudiannya, menunggu pop-up pengesahan. Namun begitu, semua ini masih lagi diperingkat paten. Adakah produk akhir akan hadir dengan penawaran sebegini? Ia masih menjadi misteri.

Komen