Cari @ Amanz


Bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Penulis rasakan inilah peribahasa yang sesuai untuk kita gambarkan kepada Realme. Masakan tidak, kita sendiri dapat lihat jenama ini seakan tidak kenal erti ‘penat’ bahkan terlalu kerap muncul dengan pengenalan produk baru dalam masa terdekat ini.

Di saat sejumlah pengeluar mungkin berhenti seketika untuk mengambil ‘nafas’, satu persatu produk Realme muncul tanpa disangka-sangka. Kurang dari tempoh setahun, Realme Malaysia telah melancarkan bukan satu bukan dua, tetapi hinggakan tiga model di bawah siri Realme C! Pertama, kita ada Realme C3 yang dilancarkan sekitar bulan Mac lalu. Kemudian, diikuti pula oleh Realme C11 dan paling terkini kita ada pula Realme C12.

Mungkin akan ada pihak yang akan bertanyakan kepada penulis : Bukankah Realme ada empat model di bawah siri ini? Bagaimana pula dengan Realme C15? Mengapa tidak tersenarai? Tenang dan tunggu dulu. Memang benar, Realme telah melancarkan Realme C15 seiring dengan Realme C12 di India sebelum ini. Akan tetapi, hanya Realme C12 sahaja yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Meskipun begitu, siapa tahu mungkin Realme ada perancangan untuk model baru lagi dalam masa terdekat ini.

Baiklah, berbalik kepada topik asal ulasan kita yang mana akan lebih memfokuskan pada Realme C12. Kalau diperhatikan, Realme C12 tidak jauh bezanya dengan Realme C11. Cumanya, keupayaan bateri besar pada peranti ini menjadi taruhan baharu Realme. Bukan itu sahaja, sokongan kamera juga dilihat menerima penambahan. Tapi, apa yang menjadi persoalannya di sini, apa relevannya Realme C12 ini dan siapa yang patut membelinya? Justeru bagi merungkai segala persoalan ini, mari kita lihat satu persatu :

Spesifikasi Ringkas Peranti

Realme C12
JenisPeranti Pintar
Paparan 6.5″ IPS LCD HD+, Mini-drop Fullscreen
PemprosesMediaTek Helio G35
Cip 4 x 2.3 GHz Cortex-A53
4 x 1.8 GHz Cortex-A53
Cip GrafikPowerVR GE8320
RAM 3GB
Muatan Dalaman 32GB (eMMC 5.1)
Kamera Utama 13MP (f/2.2) – (Utama)
2MP (f/2.4) – (B&W)
2MP (f/2.4) – (Makro)
Kamera Depan 5MP (f/2.4)
Bateri 6,000mAh + Pengecasan 10W
Sim / Telefoni Nano SIM + Nano SIM + MicroSD
Ketahanan Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Pengimbas Cap Jari + Imbasan Wajah
Harga JualanRM529

Paparan

Sebagai permulaan, penulis akan menyentuh bahagian paparan terlebih dahulu. Realme dilihat menggunakan paparan dengan rekaan hampir penuh pada bahagian ini – sama seperti yang dapat kita temui pada sejumlah peranti keluaran mereka sebelum ini. Seperti yang penulis senaraikan pada bahagian spesifikasi ringkas, Realme C12 menggunakan paparan berukuran 6.5-inci dengan panel jenis IPS LCD.

Selepas mengujinya dengan lebih lanjut, penulis mendapati paparan seperti ini adalah cukup besar dan sangat memadai untuk penggunaan harian sejumlah pengguna pada hari ini. Meskipun, masih terdapatnya dagu yang agak tebal pada bahagian bawah peranti ini. Terus terang penulis katakan, ia sebenarnya langsung tidak mengganggu penggunaan. Melaluinya, pengalaman menonton video, menatal media sosial, melayari web dan bermain permua (permainan mudah alih) sememangnya terasa seronok serta menyenangkan dengan skrin yang besar seperti ini.

Lumrah kehidupan tidak semua yang baik itu akan sempurna termasuklah Realme C12 sendiri. Skrin sememangnya cukup besar, tetapi resolusi yang disertakan hanyalah HD+ (720 x 1,600 piksel) sahaja. Sebenarnya, anda tidak perlu risau. Meskipun resolusi yang digunakan pada peranti ini rendah dan paparannya mungkin bukan yang paling tajam.

Penulis berpendapat, kualiti skrin yang dipersembahkan masih di tahap memuaskan. Ia dilihat memberikan persembahan visual yang baik, keterangan skrin memuaskan dan sudut tontonan juga dilihat baik-baik sahaja. Cumanya, apabila anda sedang menonton video. Kemudian, anda menjadikannya ke tetapan paparan penuh. Video tersebut akan kelihatan sedikit pecah.

Rekaan

Seterusnya, penulis akan teruskan dengan kemasan pada peranti pula. Realme C12 menggunakan binaan berasaskan plastik sepenuhnya. Atau nama saintifiknya dikenali sebagai bahan berasaskan polikarbonat. Meskipun begitu, peranti ini masih memiliki tarikan tersendiri untuk menarik perhatian terutamanya dalam kalangan peminat setia.

Penulis difahamkan, kemasan yang digunakan pada panel belakang ini dikenali sebagai Geomatric Art Design. Melaluinya, kelihatan coraknya seakan-akan membahagikan panel belakang ini kepada tiga bahagian dengan tampilan yang berbeza. Kemudian, terdapat juga pengimbas cap jari fizikal berbentuk buat yang ditempatkan di tengah-tengah, selain penjenamaan Realme pada bahagian bawah.

Perlu diakui, penulis sememangnya menyukai akan kemasan seperti ini. Terdapat dua sebab mengapa penulis berkata demikian, pertama kemasan seperti ini tidak mudah dikotori oleh cap jari. Sebab kedua, ia juga membuatkan peranti ini terasa sangat selesa berada di dalam genggaman dan tidak terlalu licin untuk dipegang.

Selain itu, susun atur butang standard pada peranti ini turut ditempatkan pada kedudukan ergonomik menjadikan ia mudah untuk dicapai. Bukan itu sahaja, binaannya juga turut dirasakan kukuh. Butang kuasa dan laras suara diletakkan pada sisi kanan, manakala beralih ke sisi kiri pula terdapatnya slot kad SIM yang menyokong sehingga 3 slot kad (nano SIM + nano SIM + microSD). Untuk sambungan, Realme C12 menggunakan port MicroUSB yang ditempatkan di bahagian bawah bersama-sama bicu audio 3.5mm dan pembesar suara mono.

Alang-alang bercakap perihal bicu audio 3.5mm, untuk makluman semua Realme tidak menyertakan sebarang fon telinga pada kotak pembungkus peranti ini. Tapi anda tidak perlu risau, kerana setiap pembelian peranti ini akan didatangkan sekali dengan Realme Buds Classic.

Realme C12 didatangkan dalam dua pilihan warna dan unit ulasan yang kami terima adalah berwarna Coral Red – Realme C12 dalam kemasan berwarna merah. Andai kata, mungkin warna merah bukan pilihan anda. Anda juga boleh mendapatkan peranti ini dalam kemasan berwarna biru atau juga dikenali dengan nama Marine Blue.

Prestasi

Seterusnya, perkara yang sering kali menjadi persoalan utama dalam kalangan pengguna adalah bagaimana dengan prestasinya dalam dunia nyata? Baiklah, penulis akan huraikan. Realme C12 menggunakan cip pemproses MediaTek Helio G35. Perhatikan betul-betul, ini adalah cip yang sama boleh kita temui pada Realme C11 sebelum ini. Namun begitu, masih ada peningkatan dari segi ruang memorinya. Di mana, Realme 12 menggunakan RAM sebesar 3GB bersama storan dalaman 32GB. Andai kata ruangan ini tidak mencukupi, masih terdapatnya ruang tambahan sehingga had maksimum 256GB melalui kad microSD.

Untuk prestasinya, penulis berpendapat ia dilihat berupaya menjalankan sejumlah tugas harian dengan baik-baik sahaja. Sepanjang ulasan ini, pelbagai aktiviti biasa seperti membuka / menutup aplikasi, menatal media sosial dan melayari web untuk bacaan bahan rujukan terasa memuaskan. Penulis tidak berhadapan dengan sebarang isu melampau sepanjang ulasan ini. Tapi, rasanya bohonglah jika dikatakan langsung tiada isu yang berlaku. Masalah sela masa itu sebenarnya masih ada, tetapi ia berlaku dalam beberapa situasi contohnya ketika penulis hendak membuka aplikasi YouTube.

Bergerak ke prestasi permua pula, penulis hanya sempat mengujinya dengan dua jenis permainan iaitu PUBG dan COD. Untuk permainan PUBG, Realme C12 dapat dimainkan pada tetapan grafik tertinggi balanced bersama kadar bingkai sederhana (medium). Manakala, untuk permainan seterusnya iaitu COD. Peranti ini boleh dimainkan pada tetapan grafik rendah (low) dengan kadar bingkai tinggi (high).

Meskipun begitu, bagi menikmati pengalaman permainan yang lancar dan baik. Penulis menyarankan agar anda bermain kedua-dua permainan ini pada tetapan grafik asas sahaja. Untuk pengeluaran haba, ianya boleh dipuji kerana tiada isu panas yang melampau meskipun peranti ini dimainkan dalam jangka masa lama.

Kamera

Selain prestasi, kualiti kamera juga sering menjadi persoalan dalam kalangan pengguna. Realme C12 disertakan tiga kamera utama dengan kebolehupayaan menangkap gambar dalam sejumlah situasi. Penulis berpendapat, kualiti kameranya boleh dikatakan cukup untuk keperluan harian. Jika diperhatikan, ketajaman pada objek serta ketumpatan warna yang dihasilkan nampak memuaskan dalam beberapa situasi pencahayaan.

Hasil gambar potret juga dilihat tidak kurang hebatnya. Ia dilihat menghasilkan gambar dengan kesan bokeh yang baik, meskipun masih terdapat bahagian yang perlu diperbaiki. Cumanya, lensa makro dilihat menghasilkan gambar yang kurang memuaskan kerana hasilnya dilihat tidak begitu jelas. Sebagai tambahan, Realme C12 turut disertakan sokongan mod malam untuk hasil gambar malam lebih baik. Tapi sayangnya, masalah hingar masih tetap jelas kelihatan untuk beberapa situasi.

Kamera hadapan 5-Megapixel pula hadir dengan fungsi kecantikan. Kualitinya dilihat memberikan hasil gambar yang memuaskan bersama tekstur kulit yang masih dikekalkan. Sebagai tambahan untuk kelainan, kamera ini turut hadir dengan mod potret

Bateri

Realme C12 didatangkan bateri berkapasiti 6,000mAh. Justeru, inilah daya penarik pada peranti ini. Seperti yang penulis tekankan pada tajuk ulasan ini, di mana bateri besar menjadi taruhan baharu Realme pada model ini. Melaluinya, peranti ini dilihat mencatatkan bacaan yang baik dengan menawarkan bacaan Screen-on-Time (SoT) sekitar 11 jam 43 minit untuk penggunaan sepanjang hari – termasuklah untuk penggunaan menangkap gambar, melayari web serta media sosial, bermain permua dan sebagainya.

Menyentuh soal bateri memang layak dibanggakan. Tetapi, masih terdapat perkara yang mengecewakan padanya. Peranti ini hanya menyokong pengecasan 10W di mana ia boleh dikatakan masih di takuk lama dan sangat perlahan pada masa kini. Lebih menambahkan kekecewaan adalah port yang digunakan pada peranti ini adalah jenis mikroUSB. Melaluinya, penulis mengambil masa sekitar 3 jam lebih untuk proses mengecas semula peranti ini daripada 2% sehingga 100%.

Kesimpulan

Kesimpulannya di sini, siapa agaknya yang perlu membeli peranti ini? Dalam hal ini, situasi paling mudah yang penulis boleh katakan adalah : jika anda benar-benar mahukan peranti mampu milik, atau istilah lain disebut bajet dengan bateri yang besar dan kamera pelbagai. Realme C12 adalah salah satu peranti yang boleh anda pertimbangkan untuk dimiliki. Harganya RM529 sahaja dan lebih menariknya lagi, setiap pakej pembelian akan didatangkan dengan sepasang Realme Buds Classic.

Akan tetapi, jika sebaliknya dan mahukan alternatif lain dalam jenama yang sama. Anda boleh dapatkan Realme C11, sebabnya pemproses yang digunakan adalah sama iaitu MediaTek Helio G35. Atau, anda juga boleh dapatkan Realme C3 sekiranya mahukan peranti dengan cip MediaTek Helio G70. Cuma bezanya, kedua-dua alternatif ini hadir dengan bateri 5,000mAh dan dwi-kamera utama. Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak dan tentukan keperluan penggunaan anda sebelum membeli sesuatu.

KELEBIHANKEKURANGAN
1. Rekaan nampak menarik
2. Pemproses baik dalam kelasnya
3. Bateri tahan lama
4. Pengecasan berbalik
1. Kemampuan kamera sederhana
2. Pengecasan 10W + port microUSB
3. Pembesar suara mono
4. Paparan sekadar HD+
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd