Cari @ Amanz

Sony nampaknya sibuk dengan pengumuman dan pelancaran pelbagai jenis produk kebelakangan ini. Beberapa minggu lalu, mereka telah memperlihatkan produk-produk seperti Sony WH-1000XM4 dan Sony Alpha 7s III.

Hari ini, mereka baru sahaja mengumumkan peranti kamera terbaru mereka, iaitu Sony a7C, sebuah kamera bingkai penuh (full frame) dengan rekaan yang seakan-akan siri kamera padat mereka sebelum ini yang hanya hadir dengan sensor APS-C.

Dari segi spesifikasi dalaman, kamera a7C ini hadir dengan sensor bingkai penuh 24MP Exmor R CMOS dan cip pemprosesan imej BIONZ-X sama yang digunakan didalam kamera bingkai penuh Sony A7 III sebelum ini.

Apa yang membuatkan kamera a7C ini unik ialah rekaannya yang sangat ringan dan padat. Ia mempunyai ukuran 124mm x 71.1mm x 59.7mm dan hanyalah seberat 509g, yang menjadikannya diantara kamera bingkai penuh yang paling ringan dan padat di dunia.

Dari segi kemampuan rakaman, ia mampu merakam video pada resolusi 4K dengan kadar segar semula 30FPS dan mampu menangkap gambar beresolusi penuh pada kadar 8 gambar sesaat dan 45 gambar dalam satu tangkapan berterusan (burst mode).

Ia juga hadir dengan sistem penstabilan imej dalam badan IBIS yang biasanya hadir pada kamera-kamera siri premium tidak kira apa jenama. Sokongan untuk tiba untuk rakaman dalam mod HDR (High Dynamic Resolution) dan juga profil warna S-LOG 2 dan S-LOG 3 yang boleh membantu juruvideo apabila mereka mengolah video-video ini.

Ia juga tiba dengan ciri-ciri seperti paparan LCD boleh-sentuh yang boleh dipusing yang cukup berguna khususnya bagi mereka yang ingin menggunakan kamera ini untuk tujuan vlogging ataupun merakam diri mereka sendiri.

Sony a7C ditawarkan pada harga $1800 (~RM7200) untuk badan kamera sahaja. Sony Malaysia mengatakan bahawa kamera ini akan tiba di pasaran tempatan pada bulan November kelak, dan akan mengumumkan tanda harga tempatan tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd