Spotify Mendakwa Apple One Ialah Pakej Yang Tidak Adil Kepada Pesaing

Spotify Mendakwa Apple One Ialah Pakej Yang Tidak Adil Kepada Pesaing

Diterbitkan pada Sep 16, 2020 oleh .

Pakej Apple One telah diumumkan pagi ini yang menawarkan berkas Apple tv+, Arcade, Music dan Cloud pada harga bermula RM19.90 sebulan kepada pelanggan. Ini ialah penjimatan RM38.70 sebulan jika setiap perkhidmatan dilanggan secara berasingan. Sejurus selepas pengumuman, Spotify telah mengeluarkan kenyataan mendakwa Apple One ialah pakej yang tidak adil kepada pesaing Apple.

Apple didakwa menggunakan kedudukan dominan mereka di pasaran untuk memberikan kelebihan kepada produk sendiri. Ini tambah Spotify lagi akan mendatangkan kemudaratan yang tidak dapat diperbaiki kepada komuniti pemaju dan mengancam kebebasan kolektif untuk mendengar, belajar, membangunkan dan menghubungkan. Spotify menyeru pihak berkuasa untuk bertindak segera untuk menyekat tingkah laku anti persaingan Apple.

Apple telahpun mengeluarkan kenyataan balas yang menyangkal dakwaan Spotify. Apple berkata Apple One ialah berkas yang memberikan nilai terbaik dan akses mudah kepada kesemua perkhidmatan mereka untuk pelanggan. Pelanggan masih boleh mengakses perkhidmatan alternatif selain yang ditawarkan oleh Apple.

Sebelum ini Spotify telah memfailkan aduan ke Suruhanjaya Eropah kerana Apple didakwa tidak adil kepada pesaing seperti mengenakan bayaran lebih tinggi berbanding Apple Music. Mereka juga memberikan sokongan kepada Epic Games yang mengheret Apple ke mahkamah kerana selepas menarik Fornite dari Apple Store selepas memintas sistem pembayaran Apple.



TIPS & ULASAN