Carian
OnePlus Nord N10 5G Adalah Peranti Snapdragon 690 Khusus Untuk Pasaran Amerika
September 17, 2020 Fahim Zahar

OnePlus Nord semasa dilancarkan tidak dijual di Amerika Syarikat. Ia adalah peranti Snapdragon 765G, menyokong skrin 90Hz dan AMOLED, rangkaian 5G serta harga yang mampu milik iaitu bersaing dengan iPhone SE 2020. Tetapi OnePlus telah menjanjikan akan ada peranti lain khusus untuk pasaran ini – iaitu satu lagi peranti dalam siri Nord juga.

OnePlus Nord, Snapdragon 765G

Kita sudah tahu yang OnePlus bakal hadir dengan lima peranti lagi, salah satu daripadanya adalah Nord N10 5G. Pihak Android Central kini mempunyai informasi berkenaan peranti ini. Ia hadir dengan skrin 6.49-inci 90Hz FHD+, memori 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Ia akan dijana dengan cip Snapdragon 690 yang dibina berasaskan rekaan 8nm, serta mempunyai modem 5G iaitu Snapdragon X51. Ia turut dikatakan adalah peranti OnePlus pertama dengan kamera 64MP, serta mempunyai lensa sudut ultra lebar 8MP dan dua lensa tambahan 2MP.

Peranti ini akan menjadi peranti pertama dengan cip Snapdragon 6xx yang mempunyai 5G. Ia turut dilaporkan akan dijual pada harga bawah $400, iaitu sekitar bawah RM1600. Besar kemungkinan kenapa OnePlus Nord tidak dijual di Amerika Syarikat adalah takut dengan pesaing seperti Pixel 4a dan Pixel 4a 5G. Tetapi dengan Nord N10 5G yang dijual lebih murah, ia mungkin boleh menjadi pilihan alternatif yang mungkin bersaing dengan Samsung Galaxy A42 yang mungkin dijana dengan cip yang sama.

Komen