Tahun lalu era peranti skrin boleh-lipat akhirnya bermula dengan serius selepas Royole FlexPai, Samsung Galaxy Fold dan Huawei Mate X akhirnya dipasarkan secara rasmi selepas kegagalan Kyocera Echo dan ZTE Axon M. Namun begitu akui sahaja sambutan terhadap peranti adalah tidak berapa memberangsangkan kerana kesemua peranti ini dijual pada harga perlu menjual ginjal sebelum boleh dimiliki golongan kebanyakan
Maka sempena tahun 2021 yang sudah semakin hampir (kurang 100 hari sahaja lagi) dan anda semua pastinya mahu 2020 yang merupakan annus horribilis berakhir pantas, kami akan menghasilkan 100 artikel menuju 2021 di bawah #Seratus21.
Mari mulakan dengan ramalan pada tahun 2021 kita akan melihat lebih banyak inovasi pada rekaan peranti pintar yang meninggalkan bentuk candybar. Tahun hadapan lebih banyak peranti skrin boleh lipat akan dilancarkan oleh pengeluar selain Samsung, Motorola, Huawei, Royole dan Microsoft.
Xiaomi dan TCL berkemungkinan besar akan menjadi pengeluar seterusnya selepas beberapa peranti konsep telahpun diperlihatkan. Dua pengeluar ini penting kerana mereka terkenal dengan peranti yang dijual pada harga tidak perlu menjual ginjal sebelum dibeli. Ini adalah perlu bagi membolehkan lebih ramai pengguna menikmati peranti dengan rekaan ini dan sekaligus menjadikannya rekaan normal dalam tempoh yang pendek.
Bercakap mengenai Xiaomi, mereka mempunyai beberapa paten peranti boleh-lipat yang agak inovatif seperti tri-lipat dan hanya bahagian atas sahaja dilipat bagi membolehkan kamera belakang digunakan sebagai kamera swafoto.
Selain itu kami juga meramalkan pada tahun 2021 rekaan seperti Motorola Razr dan Z Flip akan menjadi semakin popular atas dua sebab. Pertama ia adalah rekaan yang paling praktikal setakat ini. Tidak terlalu besar dan berat seperti Z Fold2. Keduanya pula harga jualan yang lebih mampu milik boleh ditawarkan. Lebih ramai pengguna inginkan peranti kompak seperti Z Flip (yang memberikan nostalgia telefon mudah alih awal milenium) dari mereka yang memerlukan sebuah tablet boleh-lipat dalam kocek.
Inovasi tidak akan terhenti di situ kerana LG akan melancarkan pula peranti skrin boleh-gulung pertama mereka selepas mempelopori penggunaannya pada televisyen pintar. Tahun ini LG Wing turut membuktikan rekaan yang lebih di luar kotak masih wujud dengan dwi-skrin putar. Ia masih dilihat aneh sekarang tetapi dengan sokongan perisian yang lebih meluas ia mungkin boleh menggegarkan industri.
Satu pengeluar yang kami tidak sebut lagi ialah Apple. Mereka mempunyai pendekatan biar lambat asal selamat. Kekurangan dan kegagalan peranti pesaing akan dijadikan iktibar oleh Tim Cook serta Rakan-Rakan sebelum menerjah masuk ke arena yang sama.
Paten telahpun difailkan dengan laporan Apple memesan sampel skrin boleh-lipat dari Samsung. Tetapi secara realistiknya kami meramalkan “iFOLD” akan hanya dipasarkan paling awal pada tahun 2022.
Secara lazimnya peranti generasi pertama akan membuktikan terdapat sambutan dari pengguna. Generasi kedua akan mempelajari dari kesilapan generasi pertama dan generasi ketiga akan melihat ianya akhirnya cukup matang untuk digunakan oleh keseluruhan industri. Ini dapat dilihat pada evolusi iPhone, iPad, Apple Watch, AirPods dan Galaxy Note. Tahun 2021 peranti skrin boleh-lipat generasi ketiga akan dihasilkan dan sekali lagi kami merasakan ia akan menjadi annus mirabalis bagi rekaan inovatif ini.