Carian
Vivo Menewaskan Google Dan OnePlus – Vivo V20 Adalah Peranti Pertama Dilancarkan Dengan Android 11
September 30, 2020 Fahim Zahar

Malam ini Google akan melancarkan Pixel 4a 5G dan Pixel 5, yang mana sepatutnya adalah peranti baru pertama yang dilancarkan dengan Android 11. Baru-baru ini, OnePlus turut ingin memegang takhta “yang pertama” – kerana mendakwa peranti OnePlus 8T mereka yang bakal dilancarkan pada 14 Oktober ini adalah peranti pertama bukan Pixel yang dilancarkan dengan Android 11.

Terkini, Google dan OnePlus dilihat telah tewas. Kerana Vivo adalah syarikat pertama yang melancarkan telefon pintar baru dengan Android 11. Peranti Vivo V20 mereka yang menjalankan sistem operasi Funtouch OS 11 dilihat dibina berasaskan Android 11. Pengesahan ini turut dibuktikan oleh GagdetIn dari Indonesia melalui video nyahkotak mereka. Pihak XDA turut mengesahkan kesahihan informasi ini melalui Google Play Console Device Catalog, yang mana Vivo V20 atau nombor model V2025 adalah satu-satunya peranti dengan Android 11 atau versi 30 yang baru. Lain-lain adalah peranti lama yang dikemaskini sahaja.

Apa yang mengejutkan adalah, ini adalah peranti Vivo. Funtouch OS tidak begitu terkenal dengan edaran kemaskini yang pantas. Biasanya hanya Google Pixel dan OnePlus sahaja, hanya baru-baru ini Samsung menyertai era mengedarkan kemaskini dengan pantas serta menjanjikan jaminan kemaskini tiga tahun. Nampaknya, OnePlus perlu keluarkan kenyataan atau terus tutup muka – kerana tanpa membuat semakan terus mendakwa mereka yang pertama.

Komen