Cari @ Amanz

#Seratus21 – Pengecas USB-C Untuk Aku, Dia Dan Kamu

Link Copied!

Sudah dua tahun ramalan kami mengenai penyeragaman industri untuk menggunakan port pengecasan USB-C pada kesemua peranti gagal menjadi kenyataan. Nampaknya kami masih belum setanding Nujum Pak Belalang, Craig Hamilton-Parker, Jabatan Metereologi  Malaysia dan Nostradamus dalam kepakaran meramal. Tetapi tahun ini boleh kaca kristal kami dengan lebih terang menunjukkan penggunaan port USB-C pada kesemua produk akan menjadi kenyataan.

Selama ini halangan utama penggunaan USB-C pada kesemua produk ialah Apple. Mereka enggan berganjak dari penggunaan Lighthing kerana percaya ia adalah I/O yang lebih baik. Tetapi dua tahun lalu USB-C mula muncul pada iPad Pro dan tahun ini diberikan pula pada iPad Air. Kebarangkaliannya ia digunakan pada iPhone 12 adalah amat rendah kerana kabel tertiris masih menggunakan Lightning. Oleh sebab itulah tahun hadapan kami merasakan dunia satu kabel untuk multi peranti akan akhirnya menjadi kenyataan.

Nama besar kamera seperti Sony dan Canon juga telah menawarkan kamera dengan USB-C. Malahan fon telinga nirwayar dan rokok elektronik juga sudah beberapa tahun hadir dengan USB-C. Penyeragaman kepala USB-C ini akan hanya menjadi lebih bermakna sekiranya penyeragaman format pengecasan dan kabel juga dapat dilakukan.

Penyeragaman kabel mudah dilakukan kerana sudahpun dilakukan pengeluar besar seperti Apple, Samsung, Oppo, OnePlus dan Google. Penyeragaman standard pengecasan mempunyai halangan yang lebih besar. Motorola (TurboPower), Oppo (VOOC), Vivo (FlashCharge), Realme (Dart), Huawei (SuperCharge) dan OnePlus (Warp) masing-masing mempunyai format pengecasan pantas tersendiri. Apple, Samsung dan Google pula adalah tiga syarikat yang pada waktu ini menggunakan standard USB-PD yang serasi di antara satu sama lain.

Berita baik yang boleh kami nyatakan di sini ialah sistem pengecasan pantas syarikat di bawah payung BBK Electronics (OnePlus, Oppo, Realme dan Vivo) hadir dengan sokongan USB-PD tetapi pada kuasa yang lebih rendah.

Jika pengeluar peranti berhubung mampu bekerjasama menyokong sistem terbuka Project Connected Home Over IP, tidak mustahil jika kesemua pengeluar peranti elektronik boleh duduk semeja untuk menyeragamkan sistem pengecas.

Tiada lagi kekeliruan ketika cuba membeli pengecas dari pihak ketika atau keperluan membawa beberapa kepala pengecas berbeza kerana format pengecasan pantas tidak disokong. Tahun 2021 akan menjadi tahun penyeragaman port pengecas yang kemudiannya kami harap akan menjadi langkah seterusnya untuk merealisasikan satu format pengecas sarwajagat pula.


Komen ()