Boom Supersonic Memperlihatkan Prototaip Pesawat Penumpang Supersonik XB-1

Boom Supersonic Memperlihatkan Prototaip Pesawat Penumpang Supersonik XB-1

Diterbitkan pada Okt 8, 2020 oleh .

Boom Supersonic mengumumkan perancangan menghasilkan pesawat penumpang supersonik Overture mereka pada tahun 2016. Ini adalah bagi memenuhi kekosongan selepas Concorde berhenti beroperasi pada tahun 2003. Hari ini Boom Supersonic memperlihatkan pesawat prototaip XB-1 mereka kepada umum.

XB-1 ialah pesawat ujian pada skala lebih kecil sebelum pesawat Overture sebenar dibina. Rekaan prototaip mengalami beberapa perubahan berbanding imej pengolokan yang diperlihatkan pada tahun 2016. Kaca kokpit juruterbang lebih kecil dan lubang pengambilan udara untuk enjin ketiga diubah ke bahagian hadapan kemudi. Menurut Boom Supersonic, mereka kini merancang untuk memulakan penerbangan ujian pada tahun 2021.

XB-1 dilengkapi tiga enjin jet bagi memastikan kestabilan apabila bergerak pada kelajuan melebihi Mach 2.2 (2335 Km/j). Pengguna bahan komposit akan mengurangkan berat pesawat dan apabila digabungkan dengan rekaan baru mensasarkan penjimatan minyak sehingga 30% berbanding Concorde.

Dengan Overture perjalanan dari London ke New York dapat dilakukan dalam masa 3.5 jam manakala Tokyo ke San Francisco pula dalam masa 6 jam. Boom mensasarkan golongan peniaga dan elit yang tidak mahu menghabiskan masa yang lama untuk tiba ke destinasi.



TIPS & ULASAN