Google Dan Samsonite Bekerjasama Untuk Konnect-i – Beg Sandang Dengan Project Jacquard

Google Dan Samsonite Bekerjasama Untuk Konnect-i – Beg Sandang Dengan Project Jacquard

Diterbitkan pada Okt 8, 2020 oleh .

Pada tahun 2015, Google telah hadir dengan beberapa projek menarik seperti Project Soli – iaitu sensor radar yang dikecilkan seperti yang ditemui pada Pixel 4 dan Pixel 4 XL. Kemudian, Google turut ada projek lain seperti Project Jacquard, iaitu sensor kawalan gestur yang boleh terus ditenun pada kain/fabrik.

Project Jacquard ini boleh dikatakan lebih stabil dari Soli, kerana sudah ada banyak produk yang menggunakan teknologi ini. Antaranya adalah Levi’s pada jaket mereka yang bernilai lebih RM1,500. Kemudian beg sandang CIT-E iaitu dari jenama Yves Saint Laurent, turut hadir dengan teknologi Jacquard. Terkini, Google telah bekerjasama dengan jenama lain yang lebih dikenali ramai – iaitu Samsonite untuk beg sandang juga. Apa yang menarik adalah, kali ini ia dijual pada harga yang jauh lebih murah.

Beg ini adalah Konnect-i, yang mana ada dua saiz – saiz biasa pada harga $219.99 (~RM914) dan saiz kecil pada harga $199.99 (~RM831). Seperti beg CIT-E, sensor ini diletakkan pada tali beg dan mempunyai kemasan yang timbul untuk mudah cari lokasi sensor. Kawalan gestur pula boleh ditetapkan sendiri oleh pengguna. Ia turut mempunyai lampu LED terbina, yang mana memudahkan mereka yang menunggang basikal di waktu malam. Kawalan gestur lain adalah seperti menanda lokasi dalam Google Maps ketika bercuti, mengawal muzik dan banyak lagi.

Sensor Jacquard ini berfungsi melalui sejenis modul yang perlu dicas melalui microUSB. Selepas dicas ia perlu dimasukkan ke dalam poket khas, yang mana ada port sambungan dan akan ada getaran jika sambungab berjaya. Beg ini boleh digunakan oleh pengguna iOS atau juga Android.



TIPS & ULASAN