Astro Akan Melancarkan Perkhidmatan Penstriman Tersendiri Pada Tahun 2021

Astro Akan Melancarkan Perkhidmatan Penstriman Tersendiri Pada Tahun 2021

Diterbitkan pada Okt 9, 2020 oleh .

Ramai yang mula memotong perkhidmatan TV satelit Astro sejak internet semakin pantas dan perkhidmatan penstriman seperti Netflix, iFlix, HBO GO dan Prime Video mula ditawarkan di Malaysia. Akibatnya satu-satunya sebab untuk melanggan Astro ialah untuk kandungan sukan yang masih lagi eksklusif. Tetapi menurut laporan dari Nikkei Asia, Astro akan melancarkan perkhidmatan penstriman mereka pada tahun 2021.

Hasrat Astro untuk menyertai arena penstriman dizahirkan oleh Henry Tan yang merupakan ketua pegawai eksekutif Astro. Menurut beliau kandungan yang ditawarkan adalah kombinasi yang diterbitkan sendiri serta dari perkhidmatan lain. Dengan ini perkhidmatan penstriman akan dilihat sebagai adi-agregator pelbagai perkhidmatan lain.

Pada waktu ini penstriman telahpun ditawarkan oleh Astro menerusi aplikasi Astro Go dengan kandungan dari HBO GO dan IQIYI. Tetapi ia masih memerlukan langganan kepada perkhidmatan TV satelit untuk digunakan. Henry Tan turut dipetik berkata Astro akan mengumumkan kerjasama dengan beberapa perkhidmatan lain dalam masa terdekat.

Sejak beberapa bulan yang lalu kami mendengar ura-ura Disney+ akan ditawarkan di Malaysia menerusi kerjasama dengan perkhidmatan tempatan. Dengan berita hari ini tidak mengejutkan jika Astro ialah syarikat tersebut kerana mereka selama ini memegang hak penyiaran saluran Disney Channel.



TIPS & ULASAN