Carian
#Seratus21 – Misi Ke Bulan Dan Infiniti
October 15, 2020 Effi Saharudin

Sejak manusia mula mendongak ke angkasa dan melihat purnama menerangi malam, mereka telah menyimpan hasrat untuk melawat permukaan bulan. Terdapat puluhan mitos-mitos awal manusia yang melawat bulan dengan kepercayaan seperti ia diperbuat daripada keju dan ditelan naga ketika berlakunya gerhana.

Tanggal 1969, impian manusia sejak ribuan tahun ditunaikan oleh NASA menerusi misi Apollo 11. Neil Armsrtong dan Buzz Aldrin menjadi manusia pertama yang mendapat di permukaan bulan. Memulakan satu langkah kecil untuk seorang insan tetapi turut memulakan lompatan gergasi untuk manusia sejagat. Setakat ini hanya 12 orang mendarat di permukaan bulan dengan kesemuanya mempunyai kromosom XY serta dari Amerika Syarikat.

Pendaratan pertama selama 21 jam dan 36 minit di permukaan satelit semula jadi bumi ini menjadi pemangkin kepada impian manusia untuk kemudiannya menakluk bulan dan seterusnya sistem solar. Tetapi selepas 1972 tiada lagi misi pendaratan ke bulan dilakukan kerana tiada sebab mengapa ia perlu diteruskan sedangkan kos setiap misi adalah tinggi.

Manusia akan kembali ke bulan pada tahun 2024 menerusi Misi Artemis, menamatkan penantian hampir 50 tahun. Pada tahun 2021, fasa pertama Misi Artemis akan dimulakan dengan pelancaran kapal angkasa untuk mengorbit bulan. Sistem sokongan hidup, komunikasi dan kemampuan pelbagai sistem yang lain akan diuji. Misi ini sekadar menghantar kapal angkasa mengelilingi bulan tanpa krew manusia.

Kemudian pada tahun 2023, misi Artemis II akan dilancarkan dengan krew manusia. Krew akan melakukan ujian ke atas kapsul angkasa Orion seperti melakukan sambungan di orbit dan simulasi untuk turun ke permukaan bulan.

Sebagai persediaan, dua misi akan dilakukan pada tahun 2021 untuk menghantar kelengkapan robotik ke permukaan bulan menggunakan roket komersial. Pembinaan The Gateway juga akan dilakukan serentak. The Gateway ialah stesen angkasa yang akan mengorbit bulan.

Akhir sekali pada tahun 2024 misi Artemis III akan dilancarkan dengan angkasawan dibawa ke permukaan bulan menggunakan pendarat bulan yang sedang dibangunkan oleh SpaceX, Blue Origin dan Dynetics. Modul yang masih lagi di peringkat rekaan ini perlu bersambung dengan kapsul angkasa Orion yang dibina oleh NASA.

Misi Artemis ini lebih penting kepada manusia berbanding Misi Apollo kerana ia adalah langkah pertama manusia untuk membina koloni di permukaan bulan. Koloni ini akan mengandungi markah untuk angkasawan tinggal untuk tempoh yang lama, loji memproses bahan api hidrogen (yang akan dibina oleh Jepun) dan pad pelancaran misi seterusnya ke Marikh.

Ahli fizik terkemuka Stephen Hawking pernah dipetik berkata kelangsungan spesis manusia adalah amat bergantung kepada kemampuan untuk melakukan kolonisasi ke planet lain di sistem suria. Kita sudahpun berada di situasi di mana bumi sedang mengalami perubahan iklan dan sumber alam semula jadi semakin hampir dilombong.

Penemuan ais di permukaan bulan akan membolehkan ia diubahsuai menjadi bahan api hidrogen menerusi proses analisis. Unsur nadir bumi di bulan boleh digunakan untuk membina sel bateri. Perlombongan angkasa lepas yang menjadi plot filem Armageddon akan menjadi realiti. Seterusnya perlombongan turut akan dilakukan di permukaan Marikh.

Oleh sebab itulah Perjanjian Artemis (Artemis Accord) telah ditandatangani 8 negara minggu ini. Di bawah Perjanjian Artemis, kesemua negara akan berjanji untuk menggunakan teknologi angkasa lepas untuk tujuan keamanan serta pelbagai persetujuan mengenai perlombongan yang akan dilakukan.

Sejauh manakah perjanjian ini akan menjanjikan keamanan tidak dapat diramal. Mengikut sejarah pelbagai perjanjian telah dilanggar dan perang angkasa lepas di antara Amerika dan Kesatuan Soviet dahulupun didorong oleh keperluan sekunder membina senjata nuklear.

Sejarah permulaan NASA sendiri terpalit dengan dosa Wernher von Braun, seorang Nazi yang membina roket V2 untuk kegunaan Wehrmacht. Kerisauan juga sebenarnya adalah berasas kerana misi ke bulan turut mendapat dana dari Elon Musk dan Jeff Bezos – dua kapitalis yang mempunyai reputasi ketamakan yang hanya mampu ditandingi oleh kebijaksanaan mereka.

Ramai mula melihat misi ke bulan sebagai pembaziran terutamanya di Amerika Syarikat yang sudah melihat bertrilion wang dibelanjakan ke dalam projek angkasa lepas. Wang yang sama dilihat lebih baik dibelanjakan kepada projek yang lebih berpijak di bumi yang nyata.

Tetapi realitinya Artemis bukan sekadar misi propaganda NASA untuk kekal relevan di abad 21. Ia adalah lompatan gergasi yang disebut oleh mendiang Neil Armstrong pada tahun 1969. Lompatan ini sudah 51 tahun dan 2021 akan menjadi tahun yang penting untuk manusia.

Komen