Carian
Redmi K30S Dilancarkan – Sekadar Xiaomi Mi 10T Untuk Pasaran China
October 27, 2020 Amy Maizuraa

Redmi K30S akhirnya diumumkam secara rasmi di China, sebentar tadi. Seperti maklumat tertiris sebelum ini, peranti ini hanyalah sebuah Xiaomi Mi 10T yang dijenamakan semula. Untuk spesifikasi ia dilihat tiada sebarang perubahan.

Paparannya di sini bersaiz 6.67-inci LCD dengan resolusi FHD+. Skrin ini turut menyokong kadar segar semula tinggi mencecah 144Hz, selain terdapat juga sokongan untuk HDR+. Melengkapi peranti juga adalah penggunaan pemproses Snapdragon 865 dengan rangkaian 5G terbina, memori 8GB, storan sehingga 256GB dan bateri 5000mAh bersama pengecasan pantas 33W. Turut kelihatan, sokongan pengimbas cap jari masih dikekalkan pada bahagian sisi.

Kamera utamanya dilengkapi sistem tri-kamera dengan konfigurasi 64-Megapixel (f/1.9) + 13-Megapixel (f/2.4) (ultra-lebar) + 5-Megapixel (f/2.4) (Makro). Manakala, lensa sebesar 20-Megapixel (f/2.2) pula digunakan untuk kamera swafotonya. Spesifikasi lain termasuklah perisian MIUI 12 berasaskan Android 10, sokongan Wi-Fi 6, NFC dan IR Blaster. Peranti ini dijual pada harga bermula RMB2,599 (~RM1,612) untuk versi asas.

Sekadar makluman, Mi 10T juga telah ditawarkan di Malaysia dan ia dijual pada harga RM1,699 seunit. Bagi yang berminat, peranti ini telah berada di pasaran dan jangan lepaskan peluang untuk memilikinya seunit hari ini juga.

Komen