Serentak dengan pelancaran siri Mate 40, Huawei Freebuds Studio telah dilancarkan sebagai fon kepala mercu pertama dari mereka selepas sekian lama memberikan perhatian kepada fon telinga sahaja. Dengan pelancarannya, Huawei akhirnya cuba memberikan saingan kepada dua raja pasaran fon kepala nirwayar semasa iaitu Sony dan Bose.
Dengan harga jualan RM 1199, ia dipasarkan pada harga yang lebih kompetitif berbanding Sony WH10000XM4 dan Bose Noise Cancelling Headphones 700. Adakah ini secara automatik membuatkan ia pilihan automatik lebih bijak berbanding dua fon kepala nirwayar dengan sistem ANC lain di pasaran? Ulasan ini akan menjawab persoalan ini dan banyak lagi.
Spesifikasi Dan Rekaan
Huawei FreeBuds Studio | |
---|---|
Jenis | Fon Kepala |
Mikrofon | 8 |
Bateri | 410 mAH (Sehingga 24 jam) |
Pengecasan | USB-C |
Cip Audio | Kirin A1 |
CODEC | L2HC |
Sokongan Aplikasi | Android |
Sokongan pembantu maya | Ada |
Pad sesentuh | Ya |
Kemampuan kalis air | Tiada |
Harga Jualan | RM 1199 |
Kita mulakan dengan rekaannya mirip dengan Bose 700 yang dilancarkan tahun lalu. Dua penutup telinga disambungkan kepada dua pendakap yang diperbuat daripada logam setebal 7mm. Kerana ia diperbuat daripada logam, ia terasa lebih teguh dan tahan lasak berbanding pendakap plastik yang digunakan pada siri Sony XM. Malah ia kelihatan lebih bergaya dari fon kepala Sony kerana kombinasi binaan logam dan kulit ini.
Pendakap besi ini boleh dilaraskan mengikut saiz kepala pemakai. Kerana laras bergerak ini memasuki bahagian angkup telinga, tiada masalah rambut atau kulit muka terkepit ketika ianya dipakai. Oleh itu FreeBuds Studio kelihatan lebih bergaya berbanding kebanyakan fon kepala lain di pasaran.
Kedua-dua penutup telinga boleh diputar 90 darjah untuk diletakkan di dalam kotak simpanan yang diperbuat daripada bahan plastik yang keras. Saiz bekas simpanan ini adalah sama seperti bekas simpanan Sony XM4. Tiada masalah untuk mencari ruang untuk meletakkannya di dalam beg galas.
Satu-satunya aksesori yang diberikan dengan pembelian ialah seutas kabel USB-A ke USB-C untuk mengecas. Seperti Apple, Huawei tidak memberikan sebuah kepala pengecas dengan setiap pembelian. Aneh sekali kabel berwarna putih diberikan walaupun fon kepala yang diulas berwarna hitam.
Bahagian penutup telinganya pula diperbuat daripada bahan plastik dengan kemasan yang pusam manakala bahagian span lapik telinga dari bahan kulit buatan manusia. Pemakaian di kepala adalah selesa dengan tekanan dapat dirasai di bawah telinga dan atas kepala. Kami merasakan sebuah fon telinga sepatutnya menyebarkan tekanan pada bahagian pelapik span bagi memastikan keselesaan pemakaian untuk masa yang panjang.
Oleh sebab itu tahap keselesaan FreeBuds Studio adalah tidak sebaik Sony XM4 yang kami rasakan adalah yang paling selesa pernah kami gunakan. Kekuatan cengkaman pendakap FreeBuds Studio juga lebih kuat berbanding XM4. Ini boleh dilihat dari dua sudut. Dari sudut positif ia memastikan fon kepala sentiasa kemas di kepala. Dari sudut negatif ia terlalu ketat untuk pemakaian masa panjang.
Pada bahagian kanan penutup telinga terdapat dua butang – satu untuk menghidupkan fon telinga dan satu lagi untuk mengawal tambatan bluetooth. Sebuah lampu LED kecil diletakkan di antara dua butang ini untuk menunjukkan bukan sahaja tahap bateri tetapi juga mod tambatan (apabila sedang cuba menambat ia akan berkelip-kelip).
Di bahagian bawahnya pula terdapat satu port USB-C untuk mengecas. Adalah sedikit mengecewakan kerana FreeBuds Studio tidak memberikan sokongan kabel 3.5mm untuk sambungan aksesori secara berwayar. Menambah lagi kekecewaan ialah sambungan USB-C – USB-C ke telefon pintar juga tidak disokong. Jika dilakukan juga, peranti tidak akan mengenali FreeBuds Studio sebagai fon kepala tetapi terus membekalkan kuasa untuk mengecas baterinya secara automatik.
Pada penutup telinga kanan juga terdapat pad sesentuh untuk mengawal bukan sahaja muzik tetapi boleh juga mengubah tahap kelantangan audio dan menyeru pembantu maya.
Bergerak ke penutup telinga kiri, terdapat butang untuk ANC. Ini digunakan untuk mengaktifkan mod ANC, mematikan ANC dan memilih mod tembus (Awareness) yang membenarkan audio luar seperti pengumuman di lapangan terbang didengari.
Perisian
Untuk mengoptimasikan penggunaan, aplikasi Huawei AI Life yang boleh dimuat turun menerusi App Gallery dan Play Store. Aplikasi untuk iOS masih belum diterbitkan semasa artikel ini ditulis.
Seperti yang kami alami ketika mengulas FreeBuds Pro tempoh hari, versi terkini Huawei AI Life di Play Store tidak mampu mengesan FreeBuds Studio. Kami terpaksa memindahkan APK yang kami muat turun dari App Gallery menggunakan P30 Pro sebelum memindahkannya ke Galaxy Note20 Ultra. Proses menggunakan FreeBuds Studio nyata lebih mudah jika anda memiliki peranti Huawei. Pada peranti Android, proses memuat turun aplikasi sokongan ini adalah melecehkan.
Fon telinga masih boleh digunakan tanpa menggunakan aplikasi tetapi tidak kami sarankan. Aplikasi adalah penting untuk menukar tetapan kawalan gestur, melihat mod ANC, tahap pengecasan bateri, mengaktifkan ANC, menjeda muzik apabila fon ditanggalkan dari kepala dan melakukan proses kemas kini perisian.
Penggunaan Dan Kualiti Audio
Pengalaman penggunaan adalah seperti FreeBuds Pro sebelum ini. Tambatan ke perati Android, iOS, Windows 10, macOS , iPadOS dan WatchOS adalah semudah menekan butang bluetooth pada fon kepala. Secara lalai kesemua ciri seperti kawalan gestur pada pad sesentuh di penutup telinga kanan disokong secara lalai. Sekiranya perubahan dilakukan pada Peranti A menggunakan aplikasi AI Life misalnya, ia akan disimpan pada fon kepala untuk digunakan pada peranti B.
Penggunaan NFC untuk menambat fon kepala kepada peranti telah wujud sejak beberapa tahun yang lalu. Mengecewakan ia walau bagaimanapun tidak disokong pada FreeBuds Studio. Sistem tambatan pantas hanya disokong pada peranti Huawei sahaja pada waktu ini. Ketiadaannya amat kami sedari kerana adalah ciri yang telah biasa kami gunakan pada fon kepala lain yang dimiliki.
Ketiadaan bicu audio untuk sambungan berwayar adalah amat dikesali. Di pejabat kami memerlukan sambungan berwayar kerana ia lebih menjimatkan bateri berbanding tambatan bluetooth. Di awal ulasan kami berkata FreeBuds Studio bersaing dengan fon kepala nirwayar Sony dan Bose. Pada dua pesaing ini, sambungan berwayar disokong sejak bertahun lamanya. Malahan antara aksesori yang diberikan ialah penyesuai sistem hiburan dalam pesawat.
Sebagai insan yang kerap menaiki kapal terang (semasa zaman sebelum Covid-19), sokongan sambungan berwayar adalah mandatori kerana tanpanya, FreeBuds Studio tidak boleh digunakan dalam kabin pesawat. Ini secara automatik membuatkan kami tawar hati untuk memberikan saranan pembelian kecuali kepada insan yang tidak peduli hanya sambungan bluetooth boleh dilakukan.
Alang-alang bercakap mengenai kapal terbang, pembatalan hingar pada FreeBuds Studio adalah memuaskan. Bunyi deruman mesin pendingin hawa dan muzik dari speaker di pejabat mampu dibatalkan dengan baik. Malang sekali kami tidak mampu mengujinya di dalam sebuah kapal terbang sebenar sebagai ujian paling ekstrem yang kerap kami lakukan. Adakah ia setanding pesaing? Sekali lagi jawapannya tidak kerana XM3 dan XM4 kedua-duanya mampu menapis audio luar dengan lebih baik.
Kualiti audio pula kami kategorikan sebagai sederhana sahaja. Kelantangan audio maksimum pada fon kepala ini adalah sekitar 80% yang dapat kami nikmati pada Sony XM3. Ini menyebabkan pengalaman mendengar muzik rock misalnya tidak cukup oomph kerana tidak cukup lantang. Perkara positif ialah pendengaran anda tidak akan rosak selepas penggunaan jangka panjang.
Dentuman bass adalah kurang bermaya. Apabila memainkan muzik EDM, bunyi bass akan mula pecah seakan kompang pada tetapan bunyi yang tinggi. Treble pula kurang gemersik apabila dibandingkan sekali lagi dengan Sony XM3. Tambahan lagi kami menyedari bunyi menjadi berkecamuk dan kurang jelas apabila terdapat pelbagai instrumen dimainkan serentak. Dalam situasi ini, ada beberapa bunyi dari sesetengah instrumen hilang dari pendengaran. Jika FreeBuds Studio ingin bersaing dalam arena fon kepala premium, ia memerlukan penambahbaikan audio yang serius untuk versi seterusnya.
Jika pada FreeBuds Pro kualiti audio adalah lebih baik pada peranti Huawei dan Apple sahaja, ini tidak berlaku pada FreeBuds Studio. Kualiti audio adalah sekata tanpa mengira sistem operasi peranti yang digunakan.
Bateri
Menurut Huawei, fon kepala ini mempunyai ketahanan bateri sehingga 24 jam sekiranya ANC dimatikan. Tiada angka diberikan Huawei tentang hayat bateri jika ANC diaktifkan tetapi kami hanya mengecasnya selepas sekitar 16 jam penggunaan (2 hari di pejabat). Seperti kualiti audio, kemampuan bateri FreeBuds Studio juga sederhana sahaja.
Izinkan kami menggunakan Sony XM3 sekali lagi sebagai penanda aras. Ia mampu bertahan sehingga 38 jam dengan ANC dimatikan dan 30 jam jika diaktifkan. Sekali lagi Huawei di belakang pesaing mereka. Kelebihan terletak pada sistem pengecasannya sahaja. Keseluruhan bateri boleh dicas dalam masa sejam berbanding 3 jam pada Sony XM3.
Kesimpulan
Duopoli Sony dan Bose pada waktu ini tidak perlu risau dengan percubaan sulung Huawei menerusi FreeBuds Studio. Pada waktu ini ia masih belum mampu menandingi kemampuan audio, ciri dan fungsi yang ditawarkan dua kuasa besar fon kepala nirwayar ini.
Sepanjang ulasan ini kami membandingkannya dengan Sony WH1000XM3 yang sudah berusia dua tahun. FreeBuds Studio tidak mampu menandingi XM3 dalam kesemua kategori kecuali sistem pengecasan yang pantas. Apabila dibandingkan dengan XM4, FreeBuds Studio semakin jauh ditinggalkan.
Dengan harga jualan RM1199, ia memang lebih mampu milik berbanding XM4 dan Bose 700. Tetapi pada waktu ini XM3 boleh dimiliki pada harga yang sama dengan FreeBuds Studio. Pada hemat kami fon kepala yang sudah berusia dua tahun ini mungkin pilihan yang lebih bijak dan memuaskan. Sukar untuk menyarankan FreeBuds Studio melainkan kepada mereka yang mementingkan ekosistem Huawei dan mahukan fon kepala dengan pengecasan terpantas sahaja.
Pro
- Rekaan yang kemas dan premium.
- Sokongan sistem pembatalan hingar aktif (ANC).
- Menjeda secara automatik apabila ditanggalkan dari kepala.
- Aplikasi yang membolehkan pelbagai tetapan diubah mengikut keperluan.
- Sistem pengecasan yang terpantas untuk fon kepala nirwayar.
Kontra
- Angkup kepala yang agak ketat memberikan tekanan pada telinga.
- Aplikasi Android tidak dikemaskini. Tiada untuk iOS.
- Tiada sokongan untuk digunakan secara berwayar.
- Tiada sokongan NFC.