Taman tema Disney sejak dari awal lagi menggunakan robot animatronik untuk menghiburkan pengunjung. Tarikan seperti The Hall of Presidents dan Pirates of The Caribbean memaparkan robot berbentuk manusia yang berinteraksi dengan pengunjung. Disney Research telahpun memperlihatkan robot animatronik terkini mereka yang kelihatan semakin hampir dengan manusia sebenar.
Dengan menggunakan kamera stereo, renungan mata animatronik boleh mengikut pergerakan pengunjung sekaligus memberikan pengalaman yang lebih baik berbanding terdahulu dengan ilusi lebih realistik. Ia turut boleh berlakon seperti membaca sebelum memberikan tumpuan kepada pengunjung sejurus selepas mengesan kehadiran mereka. Robot yang diperlihatkan hanya sekadar rangka tanpa kulit pada waktu ini.
Tidak mengejutkan jika animatronik generasi terkini akan digunakan di The Halls of Presidents yang terkenal dengan robot presiden-presiden Amerika Syarikat yang kelihatan hidup. Malahan boleh kami katakan animatronik di atas mengingatkan kami kepada robot taman tema Westworld dari siri HBO.
Sebelum ini Disney Research turut membangunkan animatronik generasi baharu untuk tarikan Beauty and The Beast dengan Belle yang mempunyai memek wajah seakan animasi sebenar. Turut digunakan oleh Disney ialah robot yang mampu melakukan aksi lagak ngeri untuk tarikan Spider-Man. Ia menggantikan pelagak ngeri manusia yang tidak mampu melakukan aksi bahaya berulang kali tanpa risiko kecederaan.