Cari @ Amanz

Penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini mengajar kita erti hidup bermasyarakat dan lebih menghargai anugerah kesihatan baik yang diberikan. Turut dapat dilihat, ia juga telah merubah landskap kehidupan harian masyarakat global dan kita tidak mempunyai pilihan sebaliknya perlu menerima perubahan norma baharu yang sedang berlaku. Malah tidak dinafikan juga, sememangnya ia telah memberi kesan yang pelbagai kepada banyak sektor atau bidang – salah satu bidang yang ditampar hebat adalah sektor pendidikan tidak mengira sama ada di peringkat rendah atau Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Covid-19

Selari dengan era norma baharu yang kian mencabar ini, segala aktiviti melibatkan pembelajaran dan pengajaran kini dilaksanakan secara atas talian. Mungkin akan ada pihak yang akan berpendapat, ia lebih memudahkan baik untuk pelajar mahupun tenaga pengajar. Tapi, anda perlu peka dengan satu perkara. Aktiviti pembelajaran seperti ini akan menjadi mudah untuk mereka yang mempunyai capaian Internet di rumah yang baik. Bagaimana pula jika sebaliknya? Sedangkan, kita sendiri tahu kos akses Internet boleh menjadi salah satu halangan untuk keluarga yang berpendapatan rendah. Bahkan, boleh dikatakan juga tidak semua kawasan mempunyai akses Internet yang baik.

Internet

Ada kebarangkalian anda akan berkata sebegini : “Adakah penulis lupa akan penawaran Internet 1GB percuma yang disediakan oleh kerajaan dengan kerjasama sejumlah syarikat telekomunikasi untuk tujuan pembelajaran ketika ini? Bahkan, ia telah dilanjutkan sehingga penghujung tahun ini dengan penggunaan selama 24 jam setiap hari. Adakah penulis juga tidak peka akan perkara ini?” Bertenang semua, sabar. Penulis juga sedia maklum berkaitan perkara ini dan boleh dikatakan mereka begitu prihatin kerana sentiasa mendengar keluhan kita.

Secara peribadi, penulis boleh katakan kuota sebegini mungkin memadai untuk penggunaan biasa seperti melayari laman web berkaitan pendidikan atau aplikasi pemesejan untuk kemas kini urusan kerja. Tetapi, penggunaan untuk persidangan video seperti Zoom atau Google Meet pula, terus terang penulis katakan di sini ia agak terhad dan sama sekali tidak mencukupi. Sebabnya, proses pembelajaran sebegini menggunakan jumlah data yang tinggi. Penulis juga perasan, terdapat segelintir pihak yang turut sama berpendapat sebegini.

Justeru, pendekatan terbaik yang boleh diambil adalah dengan melanggan pakej pas Internet mingguan dan bulanan. Rata-rata mencari pakej yang berbaloi dengan harga mampu milik dan sebelum terlupa, penulis juga pernah berkongsi senarai pelan data tanpa had bawah RM40 dalam artikel sebelum ini. Klik pada pautan ini untuk ketahui lebih lanjut, mana tahu mungkin ada di antaranya yang menarik perhatian anda.

Namun begitu, sekali lagi kita boleh kata mereka peka dengan ‘derita’ yang dihadapi oleh sesetengah pihak yang terjejas. Sekaligus, mengumumkan langkah terbaik untuk memudahkan proses pembelajaran – dengan memperkenalkan Pakej Pelan Data Dan Peranti Kepada Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pula. Melaluinya, boleh dikatakan mereka tidak sekadar peka dengan permasalahan capaian Internet. Sebaliknya, turut sama berganding bahu dengan tiga jenama terkemuka seperti Acer, Apple dan Samsung dalam menawarkan diskaun istimewa untuk pembelian peranti pintar untuk pelajar. Dengan kata lain, lebih memudahkan pelajar untuk memiliki komputer riba bagi mengikuti pembelajaran secara atas talian dengan baik.

Mengulas lebih lanjut mengenai pakej pelan data pelajar IPT, ia dikatakan hadir dengan penjimatan lebih baik berbanding pakej telekomunikasi biasa – bermula serendah RM28 . Terdapat empat syarikat telekomusi yang mengambil bahagian iaitu Celcom, Digi, Maxis dan Unifi. Pakej penawarannya juga dilihat cukup menarik – ada yang hadir dengan tawaran pelan data Internet dan panggilan tanpa had. Hal ini tentu sekali dianggap sebagai langkah yang baik. Boleh dikatakan bukan setakat aktiviti pembelajaran. Tetapi, kalau menonton drama korea di Netflix juga boleh habis 16 episod sekaligus. Ini sebagai contoh sahaja.

Tetapi, satu yang penulis ingin tekankan di sini adalah penggunaan data Internet ini hanya boleh digunakan pada peranti pintar sahaja. Pasti akan ada pihak yang akan mempersoalkan kepada penulis : Jadi, apa masalah padanya? Okay, bagi mendapatkan pengalaman panggilan persidangan video yang terbaik, kebiasaannya kita akan menggunakan komputer riba. Benar atau tidak? Mungkin ada segelintir yang akan menggunakan peranti pintar / tablet. Tetapi, bilangannya boleh dikira dengan jari. Bahkan, penggunaan komputer riba ketika sesi pembelajaran dalam talian juga adalah lebih mudah berbanding peranti pintar – kerana kekangan skrin yang kecil.

Komputer Riba

Justeru, sambungan Internet atau hotspot ke komputer riba amat diperlukan di sini. Seperti penulis katakan tadi, penawaran pelan data yang tersedia sememangnya cukup menarik. Tetapi, selepas diteliti ada sedikit kekangan untuk penawaran data hotspot – di mana terdapat limit tertentu padanya yang membuatkan lambakan data pada peranti pintar seakan tidak bermakna.

Penulis juga mendapati, terdapat segelintir pihak yang mengutarakan cadangan agar pihak berwajib dapat mengusahakan inisiatif lain untuk menambah lagi kuota. Dan, alangkah lebih baik jika menjadikan penawaran hotspot ini sebagai data tanpa had. Ia bukan sahaja berguna untuk sesi pembelajaran atas talian. Bahkan, turut memudahkan pelajar untuk menyelesaikan segala proses pembelajaran lain termasuk tugasan, carian maklumat dan sebagainya.

Tapi sebenarnya, masih ada alternatif lain yang boleh diambil untuk permasalahan ini. Antaranya, anda boleh semak langganan Hotlink Prepaid Unlimited dengan tawaran hotspot tanpa had yang baru. Melaluinya, terdapat dua langganan bulanan yang tersedia dengan harga bermula serendah RM35/bulan. Dengan tambahan hanya RM5 untuk mana-mana langganan berkenaan, anda boleh menikmati penawaran hotspot tanpa had selama sebulan. Atau, anda juga boleh semak penawaran daripada Unifi Mobile Bebas Prepaid yang turut menawarkan data hotspot tanpa had pada harga juga serendah RM35/bulan. Tetapi ianya terhad untuk penggunaan data internet sahaja.

Berbalik kepada topik asal kita. Untuk penulis tentukan tempoh jam kredit yang sebenar untuk sebuah subjek mungkin tidak semuanya akan tepat. Orang kata, semakin berat sesuatu subjek tersebut. Semakin tinggi jam kreditnya. Jadi, dengan kekangan pada penawaran data hotspot seperti ini. Secara asasnya, pastinya keadaan itu akan membebankan segelintir pihak untuk untuk membeli pas tambahan.

Tambahan pula, tambahan akses ini juga kebiasaannya ada tempoh sah tertentu untuk setiap pembelian. Bukankah, ia akan memberi kesan kepada aspek kewangan? Apa pula kesannya terhadap mereka nanti? Bukankah inginkan sesuatu yang terbaik, perlu beri yang terbaik juga? Dan, bukankah melahirkan generasi muda berilmu boleh menjadi tonggak penting dalam persediaan negara maju? Sama-sama kita renungkan.

Akhir sekali, penulis akhiri artikel ini dengan mengingatkan semua pihak bahawa perjuangan kita masih belum tamat. Bahkan, kita semua juga tidak tahu bilakah penularan wabak ini akan berakhir. Jadi, mari berganding bahu sama-sama bertanggungjawab melawan wabak ini. Bak kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi sebuah entri di laman Twitter beliau sebelum ini : “Untuk kita berjaya. Pastikan kita jaga kita, keluarga kita, masyarakat kita dan Negara kita“.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd