Oppo Find X3, ZTE Axon 30, Nubia Red Magic 6 Dan Realme Race Akan Hadir Dengan Cip Snapdragon 888

Diterbitkan pada Dis 2, 2020. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Seperti sedia maklum, Qualcomm secara rasminya telah memperkenalkan cip mercu terkini mereka iaitu Snapdragon 888, semalam. Sejumlah pengeluar termasuk Oppo, Nubia, ZTE dan Realme juga telah mengesahkan bakal hadir dengan peranti bersama janaan pemproses ini. Namun, tiada maklumat lanjut berkaitan model sehinggalah kini ia dikongsi sendiri oleh para pengeluar ini menerusi beberapa entri di laman media sosial.

Merujuk pada entri yang dimaksudkan, Oppo dilihat mengesahkan bahawa cip ini bakal digunakan pada siri Oppo Find X mereka yang seterusnya. Menurut Oppo lagi, peranti ini akan diperkenalkan secara global sekitar suku pertama tahun hadapan kelak. Seterusnya, Nubia mengesahkan bahawa mereka akan menggunakan cip ini pada Nubia Red Magic 6, sementara Realme pula akan menyertakannya pada Realme Race. Tidak ketinggalan, ZTE Axon 30 juga telah disahkan hadir dengan cip ini.

Dalam pada itu, Xiaomi juga sebelum ini telah mengesahkan bahawa Xiaomi Mi 11 akan menjadi peranti pertama yang bakal disertakan dengan pemproses ini. Buat masa ini, para pengeluar dilihat sekadar mengacah sahaja tanpa berkongsi sebarang butiran mengenai spesifikasi dan tarikh pelancaran peranti.

Disebabkan kebanyakan antara pengeluar dilihat menyasarkan untuk memperkenalkan peranti tersebut sekitar awal 2021. Kita boleh menjangkakan lebih banyak maklumat akan diketahui dalam masa terdekat ini, tambahan pula kita kini sudah di penghujung tahun 2020.

Sekadar selingan, cip Snapdragon 888 dikatakan pengganti kepada Snapdragon 865 sebagai cip untuk kegunaan peranti kelas mercu. Ia menyokong rangkaian 5G sub 6GHz serta mmwave dan peningkatan grafik sehingga 35% berbanding Snapdragon 865.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami