Shopee Mencabar Grab Dan Gojek

Shopee Mencabar Grab Dan Gojek

Diterbitkan pada Dis 3, 2020 oleh .

Shopee merupakan syarikat yang memfokuskan arena edagang di rantau Asia Tenggara, dan merupakan salah satu syarikat dibawah Sea Ltd – yang mana turut mengoperasikan beberapa syarikat lain, seperti Garena.

Terbaru, hadir laporan baru mengatakan Grab dan Gojek kini aktif dalam perbincangan untuk menyatukan syarikat mereka, salah satu sebabnya diperkatakan adalah kerana peningkatan populariti Shopee di rantau Asia Tenggara.

Mungkin ramai yang tertanya, mengapa syarikat edagang dianggap sebagai pesaing untuk Grab dan Gojek. Untuk makluman, walaupun tidak memasuki arena seru-pandu, tetapi Shopee secara berperingkat memberikan cabaran kepada pihak Grab dan Gojek dalam beberapa arena lain.

ShopeePay PayNet

Shopee sedia mempunyai penawaran ShopeePay – iaitu dompet digital untuk transaksi nirtunai. Dengan populariti platform edagang mereka, ia secara tidak langsung membuatkan ramai menggunakan ShopeePay. Kini, selain secara atas-talian, pihak Shopee turut mula memperluaskan penawaran ShopeePay untuk kegunaan di kedai-kedai fizikal.

ShopeePay turut didapati berkembang dengan pesat, serta mengintegrasikan ciri baru – sebagai contoh di Duitnow QR, yang masih tidak disokong oleh sejumlah dompet digital lain. Peningkatan populariti ShopeePay juga turut telah memberikan tekanan, dan membawa kepada perbincangan gabungan antara Grab dan juga Gojek.

Selain dompet digital, Shopee turut telah menawarkan tempahan barangan runcit melalui platform mereka – satu lagi arena yang diceburi oleh Grab dan Gojek.

Menariknya, disamping itu, Shopee juga kini bereksperimen dengan perkhidmatan penghantaran makanan di Indonesia, dinamakan ShopeeFood. Ini juga secara tidak langsung memberikan lebih cabaran kepada Grab dan Gojek – apatah lagi dengan lebih ramai selesa membuat perbelanjaan terus melalui Shopee sahaja.

Tidak mustahil juga kita melihat kepada Shopee memperluaskan penawaran meliputi produk kewangan dan sebagainya melalui platform mereka.

Buat masa ini, ia dilihat Shopee mungkin tidak akan menyertai arena seru-pandu, tetapi pihak Shopee mungkin lebih bijak dan menyasarkan industri yang lebih menguntungkan dan tidak merugikan. Perkara ini mungkin memberikan tekanan kepada pihak Grab dan Gojek – yang mungkin bersatu tenaga dalam bersaing dengan Shopee dan syarikat-syarikat lain.



Paling Popular