Carian
Opensignal: Purata Kelajuan Internet 4G Malaysia Hanya 12.7Mbps
December 7, 2020 Nazrin

Seperti yang sedia maklum, syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan kini semuanya sedang sibuk menaiktarafkan peralatan-peralatan mereka untuk memastikan bahawa semua rakyat Malaysia dapat menikmati kelajuan Internet yang pantas.

Opensignal, badan piawaian rangkaian telekomunikasi global baru-baru ini telah mengeluarkan sebuah laporan yang memperlihatkan status kualiti rangkaian internet mudah-alih di Malaysia kebelakangan ini.

Ujian-ujian penanda-aras rangkaian dilakukan sepanjang Ogos ke Oktober 2020, dan data dikumpul menggunakan aplikasi dan perkhidmatan digital yang boleh diakses menggunakan rangkaian tempatan.

Menurut laporan mereka mengenai kualiti dan liputan rangkaian internet 4G tempatan, ia secara ratanya boleh dikatakan pada tahap yang baik, tetapi terdapat banyak lagi aspek yang boleh diperbaiki.

Dari segi liputan rangkaian 4G, sebahagian besar daripada negeri-negeri di Malaysia mempunyai peratusan liputan yang agak tinggi. Walaupun begitu, hanya Kuala Lumpur mempunyai peratusan melebihi 90 peratus, manakala tiga negeri dan bandar selepas itu, termasuklah Pulau Pinang, Putrajaya dan Selangor rata-rata mempunyai peratusan liputan 89.7, 89.5 dan 88.8 peratus.

Tiga negeri dengan liputan 4G terendah termasuklah Sabah, Sarawak dan Kelantan dengan peratusan liputan 80, 79.6 dan 79.2 peratus. Dari segi purata liputan, rakyat Malaysia rata-ratanya dapat menikmati penggunaan rangkaian 4G pada kadar 86 peratus.

Walaupun begitu, pengalaman penggunaan rangkaian 4G bukanlah mengikut liputannya sahaja. Satu lagi aspek yang sentiasa dititikberatkan ialah kelajuan rangkaian.

Di dalam aspek ini, Opensignal memperihatkan kelajuan internet 4G yang cukup merisaukan. Secara purata, kelajuan internet 4G Malaysia hanyalah selaju 12.7Mbps, dimana tiga negeri dengan sambungan internet 4G terpantas, iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor semua mencatatkan kelajuan internet 4G 16.5Mbps, 16.0Mbps dan 13.9Mbps sahaja.

Syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan nampaknya bukan sahaja meningkatkan capaian rangkaian 4G, tetapi juga meningkatkan kelajuan rangkaian ini sebanyak tiga kali lebih laju untuk mencapai kelajuan minima 35Mbps yang ditetapkan pihak SKMM melalui pelan JENDELA.

Tidak hairanlah bahawa SKMM juga sedang dalam perancangan untuk menamatkan penggunaan rangkaian 3G tempatan supaya spektrum tersebut boleh digunakan untuk meningkatkan lagi prestasi rangkaian 4G.

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan kadar kelajuan internet mudah-alih di Malaysia, anda boleh membaca mengenainya secara lebih mendalam di laman web Opensignal.

Komen