Carian
Ulasan iPhone 12 Pro Max – Kepuasan Maksima Pada Harga Maksima?
December 10, 2020 Effi Saharudin

Sejak iPhone 7 Plus, saya ditugaskan untuk menulis ulasan peranti paling mercu keluaran Apple. Kini masuk ke tahun empat ulasan di tulis dan saban tahun juga saya akan dapat mengagak apa yang tertulis di bawah sebenarnya tidak akan mengubah pendapat mereka yang memang peminat atau pembenci fanatik peranti iOS ini.

Tetapi dengan harga jualan bermula dari RM5299 sebuah, saya yakin ramai sebenarnya berminat untuk mengetahui apakah perubahan yang dilakukan. Adakah masih berbaloi untuk membelinya atau Apple tegar memberikan kemas kini yang kecil walaupun dengan harga yang semakin meningkat?

Menerusi ulasan ini saya berharap dapat menjawab dua persoalan cepu emas di atas dan juga beberapa persoalan lain yang mungkin terbungkam di hati pembaca Amanz. Baiklah ini ialah ulasan lengkap dan ikhlas untuk Apple iPhone 12 Pro Max.

Spesifikasi Dan Rekaan

Apple iPhone 12 Pro Max
Skrin6.7″ Super Retina XDR OLED
60Hz, Dolby Vision
PemprosesApple A14 Bionic (5nm)
Cip2 X 3.1 GHz Firestrom
4 X 1.8 GHz Icestorm
Cip GrafikApple GPU
RAM6GB
Muatan Dalaman512GB
Kamera Utama12+12+12 Megapixel f/1.6+f/2.2+f/2.4, Zum optikal 2.5X, Ultra sudut lebar, OIS, LiDAR
Kamera Swafoto12 Megapixel f/2.2
Bateri3687 mAh
Pengecasan berwayar 20W
Pengecasan nirwayar 15W
SIM/TelefoniNano + eSIM / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas wajah 3D
Harga JualanDari RM 5299

Perkara pertama yang saya sedar sejurus selepas peranti dikeluarkan daripada kotak ialah saiz dan beratnya. Ia lebih tinggi dan lebar jika dibandingkan dengan 11 Pro Max tahun lalu. Tetapi menariknya ia kini lebih nipis. Akibatnya peranti terasa sedikit canggung untuk digunakan pada awalnya kerana imbangan berat pada tangan berubah dengan 11 Pro Max yang saya gunakan sejak setahun lalu. Lihat gambar di bawah untuk melihat sendiri perbezaan ketinggian 12 Pro Max (kiri) dan 11 Pro Max (kanan).

Perkara kedua yang saya sedari ialah sisi tubuh yang kini rata dan berkotak. Ia adalah rekaan iPad Pro yang kini dipindahkan ke sebuah peranti yang bersaiz lebih kecil. Dengan sisi rata, peranti boleh didirikan di atas meja dengan mudah. Telah lama telefon pintar tidak ditawarkan dengan rekaan rata ini. Oleh sebab itu 12 Pro Max mengingatkan saya kepada Nokia 3310 yang pernah dimiliki dua dekad lalu. Yang tidak mampu dilakukan hanyalah “menari” apabila nada dering beralun.

Keseluruhan bingkai 12 Pro Max diperbuat daripada besi tahan karat. Ia berkilat dan memerangkap kotoran dengan cukup mudah. Apabila diletakkan bersebelahan dengan iPhone 12 yang menggunakan bingkai aluminium, 12 Pro Max kelihatan jauh lebih premium. Pendek kata jika premium yang anda cari, siri 12 Pro adalah pilihan yang paling afdal untuk iPhone 12 tahun ini.

Dengan tubuh berkotak, ramai yang pasti menyangka ia tidak selesa di dalam tangan. Tetapi saya sendiri terkejut ia sebenarnya 180 darjah dari jangkaan awal. Butang-butang laras suara dan kuasa turut diratakan seperti iPhone 4. Pada hemat saya ini membuatkannya terasa lebih selesa apabila ditekan. Rekaan lebih cantik tetapi tidak mengorbankan ergonomik.

Sisi rata juga meningkatkan luas permukaan untuk dipegang sekaligus membuatkannya terasa kemas di dalam tangan. Tidak terasa seperti ini dengan mudah terlucut dari genggaman. Tema rata diteruskan kepada skrin yang juga lebih rata dari sebuah landasan lapangan terbang. Skrin tahun ini sebesar 6.7″ masih lagi dari keluarga OLED. Sedikit sahaja lebih besar berbanding 6.5″ pada model tahun lalu. Bezel kelihatan lebih nipis tetapi masih tidak senipis yang ditemui pada Note20 Ultra 5G. Takuk yang menempatkan pengimbas Face ID dan kamera swafoto kembali.

Tetapi terdapat satu isu baru yang tidak pernah saya temui sepanjang mengulas iPhone dengan skrin OLED tahun ini. Saya mendapati apabila di bawah sinar matahari yang terik, sukar untuk melihat apa yang dipaparkan pada skrin. Ini ialah isu yang sama yang dihadapi oleh Fahim dan Maya semasa mengulas iPhone 12 dan iPhone 12 Mini mereka. Perbezaan prestasi skrin iPhone 12 Pro Max dengan Note20 Ultra 5G adalah amat ketara.

Skrin peranti Samsung masih jelas tanpa cela tetapi perkara yang sama tidak boleh saya katakan pada iPhone 12 Pro. Tambah mengejutkan skrin iPhone tahun ini dikeluarkan oleh Samsung dan telah memenangi beberapa anugerah. Isu keterangan skrin di bawah matahari yang terik mungkin tidak disedari pengulas di negara barat tetapi di Malaysia dengan cuaca yang hampir sentiasa panas ia boleh saya kategorikan sebagai isu yang agak serius.

Selepas empat generasi, Apple masih belum merasakan mereka perlu mengubah rekaan yang kini dianggap telah ketinggalan zaman. Saya cuma kecewa kerana Huawei menerusi Mate 40 Pro membuktikan sistem imbasan 3D pada peranti tidak secara automatik memerlukan takuk yang besar. Apa yang boleh saya katakan paparan tahun ini masih kekal cantik dengan penghasilan warna yang cukup mantap. 12 Pro Max kalah kepada Note20 Pro pada ketebalan bezel tetapi mengatasinya pula pada rekaan skrin rata. Masalah video melimpah keluar ke sisi tidak akan berlaku pada peranti Apple ini.

Keputusan mengekalkan rekaan ketinggalan zaman ini juga boleh ditemui pada skrin yang masih sekadar menyokong kadar segar semula 60Hz. Ya 60Hz pada November 2020 sedangkan semakin banyak peranti kelas pertengahan Android telahpun berpindah ke 90Hz dan ke atas. Saya yakin ini dilakukan bagi mengurangkan penggunaan bateri tetapi keputusan yang diambil ini pastinya mengecewakan ramai peminat Apple.

Panel belakang juga mengekalkan bahan binaan kaca yang pusam. Sekiranya anda ada membaca ulasan saya tahun lalu untuk 11 Pro Max, saya ada berkata kemasan pusam ini perlu ditiru pengeluar lain. Ini telahpun berlaku dan pada 12 Pro Max ia masih lagi sama. Tiada masalah kotoran melekat seperti magnet atau peranti terasa licin.

Yang kurang menyenangkan ialah saiz dan ketinggian bonggol kamera pada tahun ini adalah tidak masuk akal. Saiznya saya anggarkan meningkat 30% dan ketinggian pula sekitar 40%. Peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja tanpa terjungkang-jungkit. Seperti saya katakan di awal ulasan ini, 12 Pro Max adalah lebih nipis berbanding 11 Pro Max. Sepatutnya Apple mengekalkan sahaja 0.7mm dari lalu supaya bonggol tri-kamera 12 Pro Max tidak menjadi setinggi ini.

Modul tri-kamera lebih besar kerana lensa yang juga lebih besar serta penambahan sistem LiDAR. Apple berkata dengan lensa lebih besar, prestasi fotografi dapat dipertingkatkan. Benara ataupun tidak hanya dapat dilihat selepas peranti menjalani proses ulasan penuh minggu ini. Kekecewaan pada tahun 2020 selain dari wabak Covid-19 ialah trend bonggol kamera yang semakin membisul sehingga Apple turut terjebak.

Sistem audio stereo masih lagi menerusi dua speaker pada bahagian bawah dan takuk skrin. Walaupun audio yang dihasilkan adalah lantang, konfigurasi ini mengakibatkan berlaku ketidakseimbangan. Era speaker stereo yang terletak di hadapan HTC One M7 perlu dikembalikan. Jika rekaan klasik iPhone 4 boleh dikembalikan masakan rekaan audio terbaik One M7 perlu dibiarkan berkubur begitu sahaja.

Alang-alang ingin melakukan perubahan, saya menyeru Apple untuk melakukan langkah berani pada tahun hadapan dengan akhirnya menyokong USB-C. Walaupun beberapa ura mengatakan iPhone 12 akan meninggalkan Lightning, ini malangnya tidak berlaku. Penantian USB-C untuk semua bersambung untuk setahu lagi.

Yang ditinggalkan ialah pengecas dan fon EarPods dalam kotak. Kedua-dua aksesori yang dahulunya disertakan dengan setiap pembelian perlu diberi secara berasingan. Pengecas 20W kini ditawarkan pada harga RM99 sebuah. Ia perlu dibeli kerana kabel pengecas yang diberikan ialah dari jenis USB-C ke Lightning dan untuk memastikan anda boleh mengecas bateri 3687 mAh dengan pantas. Oh perlu juga diberitahu kapasiti bateri ini adalah 282 mAh lebih kecil berbanding 11 Pro Max. Pengurangan ketebalan peranti nampaknya turut mengorbankan kapasiti bateri.

Kesemua komponen hebat ini dimasukkan ke dalam tubuh peranti yang melepas piawaian IP68. iPhone 12 Pro Max tidak mengecewakan sebagai sebuah peranti mercu 2020 di atas kertas. Hampir kesemua kotak senarai impian yang diperlukan telah diketik dengan jayanya.

Penggunaan Dan Perisian

Keluar sahaja dari kotak, 12 Pro Max menggunakan sistem operasi iOS 14.1 yang kemudian perlu dikemaskini ke 14.2 pada kadar segera. Bagi mereka yang sebelum ini hanya menggunakan peranti iOS 13, perubahan yang dilakukan pada antaramuka adalah agak drastik.

iOS 14.2 hadir dengan sokongan widget buat pertama kali bagi memudahkan maklumat pantas seperti agenda kalendar dan cuaca dilihat. Apple juga akhirnya memberikan ciri seakan talam notifikasi dengan menumpulkan ikon aplikasi secara setempat. Sistem paparan lama dengan kesemua ikon di muka hadapan masih boleh digunakan jika anda lebih selesa dengan rekaan klasik.

Penambahbaikan pada privasi diberikan keutamaan kali ini. Kawalan lebih menyeluruh kepada aplikasi diberikan serta pilihan log masuk menggunakan akaun Apple. Lampu LED menyala pada bahagian hadapan untuk memberitahu kamera sedang aktif. Bagi insan yang mementingkan privasi, iOS 14.2 akan memudahkan anda tidur lebih nyenyak pada waktu malam kerana pelbagai pilihan yang diberikan.

Telah saya katakan beberapa perenggan di atas, 12 Pro Max masih retro dari segi teknologi skrin yang masih lagi sekadar 60Hz. Tetapi dalam penggunaan dunia sebenar 60Hz pada iOS 14.2 masih lagi lancar kerana dipadankan dengan pemproses Apple 14 Bionic yang berkuasa serta pengesanan sentuhan 120Hz. Adakah saya merindui skrin 120Hz pada Note20 Ultra semasa menggunakan 12 Pro Max? Jawapan ikhlas ialah hanya seketika kerana hakikatnya ialah dalam majoriti situasi 60Hz adalah lebih dari memadai.

Penanda Aras

Apple 14 Bionic ialah pemproses 5nm pertama dunia dan mengekalkan konfigurasi kluster 8 teras dengan dua teras berkuasa tinggi dan empat teras kecekapan. Apple masih belum merasakan ada keperluan menggunakan cip lapan teras mereka pada iPhone kerana setakat ini digunakan hanya pada iPad Pro (Apple A12Z) dan komputer (Apple M1)

Ketiadaan dua teras tambahan tidak langsung mencatatkan prestasi A14 Bionic kerana dalam dua ujian penanda aras Antutu 3D dan Geekbench 5, ia dengan mudah memintas Snapdragon 865+, Exynos 990 dan Apple A13 Bionic. Sebanyak 667,807 markah dicatatkan dalam ujian Antutu 3D dan 1598/3971 dalam ujian Geekbench 5.

Pesaing terhampir A14 Bionic pada waktu ini ialah Snapdragon 865+ dengan  650,975 markah adalah Antutu 3D dan 1006/3341 markah dalam ujian Geekbench 5. Apple 13 Bionic pula mencatatkan 530,158 markah dan 1332/3480 markah dalam ujian yang sama. Terdapat peningkatan yang ketara dilakukan oleh Apple dalam masa setahun selepas bertukar dari 7nm ke 5nm.

Namun kesemua ini ialah markah penanda aras ujian sintetik. Adakah saya dapat melihat perbezaan yang ketara semasa menggunakan aplikasi? Jawapannya ya. Dapat dilihat aplikasi dilancarkan serta pemprosesan video yang ketara lebih pantas walaupun dari perspektif seorang pengguna iPhone 11 Pro Max sebelum ini. Seperkara lagi yang saya sedari ialah peranti kini lebih panas selepas menggunakan kamera dan aplikasi permua prestasi tinggi seperti COD Mobile.

Ingin juga saya sentuh, walaupun tidak dipasarkan sebagai peranti untuk permua seperti ROG Phone 3 dan Black Shark 3, kesemua permua mampu dilancarkan pada tetapan paling tinggi. Kekurangan masih hanya terletak pada kadar segar semula yang sekadar 60Hz sahaja sedangkan pada dua peranti Android yang saya sebutkan tadi skrin sehingga 120Hz disokong. Pengalaman menggunakan permua sedikit lebih lancar kerana kadar bingkai lebih tinggi ini.

Kamera

Tiga kamera utama sebesar 12-Megapixel dipadankan dengan sensor LiDAR buat pertama kalinya pada iPhone selepa diperkenalkan pada iPad Pro awal tahun ini. Apple belum berani berganjak dari penggunaan sensor 12MP yang digunakan sejak iPhone 6S. Perbezaan hanyalah terletak pada saiz fizikal lebih besar, lensa dan perisian. Pada bahagian hadapan sebuah lagi sensor 12-Megapixel digunakan. Dengan empat sensor bersazi sama, proses optimasi perisian menjadi lebih mudah untuk jurutera Apple.

Masih lagi tiada sistem zum periskop. iPhone 12 Pro Max hanya mampu melakukan zum optikal 2.5X dan zum digital 12X. Sekali lagi Apple enggan mengikuti perkembangan pasaran yang dipenuhi peranti dengan kemampuan zum yang jauh lebih baik.

Tetapi ini tidak bermakna teknologi kamera iPhone statik sejak 2019. Beberapa penambahbaikan telah diberikan seperti sokongan rakaman Dolby Vision, sokongan Apple Pro RAW dan akhirnya mod malam pada sudut ultra lebar. Kerompongan masih berlaku pada lensa telefoto yang masih tiada sokongan mod malam.

Pujian saya berikan kepada kepantasan pemfokusan dan gambar boleh diambil dengan pantas secara berterusan. Imej yang diambil juga boleh dilihat terus tanpa masa pasca-proses yang lama. Isu ini saya temui walaupun pada peranti dengan Snapdragon 865 tahun ini. Kuasa Apple A14 Bionic digunakan sepenuhnya untuk menghapuskan lengah masa. Tetapi ia hadir dengan isu pemanasan. Sekiranya banyak gambar diambil secara berterusan, peranti menjadi sedikit panas. Ingin saya katakan ini ialah isu yang TURUT berlaku pada peranti Snapdragon 865 jika kecerdasan buatan diaktifkan pada aplikasi kamera.

Kualiti Gambar

Gambar yang diambil seperti dijangka adalah amat baik dengan penghasilan warna yang tepat dan julat dinamik yang memuaskan. Perbezaan yang dapat saya lihat jika dibandingkan dengan 11 Pro Max ialah gambar yang kelihatan lebih terang dan tajam serta sokongan mod malam yang lebih baik.

Tetapi adalah kualiti gambarnya berbeza langit dengan bumi apabila dibandingkan dengan peranti mercu Android lain di pasaran? Soalan ini sedikit sukar untuk dijawab kerana dari pengalaman peribadi “gambar ini cantik” ialah sangat subjektif. Saya secara peribadi merasakan gambar iPhone 12 Pro Max adalah cantik tetapi warna yang kurang menyerlah apabila dikongsi ke media sosial. Dalam ujian buta yang dilakukan menerusi Twitter dua minggu lalu, majoriti merasakan imej yang diambil menggunakan Galaxy Note20 Ultra adalah lebih baik apabila dibandingkan dengan 11 Pro Max dan 12 Pro Max.

Sekali lagi saya ingin mengatakan ini adalah menerusi perkongsian ke Twitter dengan skrin peranti yang kecil. Apabila ketiga-tiga imej dilihat pada kualiti asal di dalam sebuah komputer, imej Galaxy Note20 Ultra adalah lebih tajam tetapi julat dinamik pada 12 Pro Max pula lebih baik. Ini membawakan satu lagi persoalan. Adakah anda inginkan imej lebih tajam atau imej yang lebih semula jadi? Adakah imej diambil untuk perkongsian media sosial atau simpanan peribadi? Kamera peranti mana yang lebih baik adalah amat bergantung kepada jawapan yang diberikan kepada dua soalan ini.

Satu soalan yang saya boleh jawab tanpa perdebatan yang panjang ialah kualiti imej zum. Gambar yang diambil menggunakan Galaxy Note20 Ultra dan Mate 40 Pro dengan mudah mengalahkan 12 Pro Max dalam mod zum. Sistem zum teleskop pada dua peranti Android ini memberikan kelebihan yang tidak dapat dicapai oleh 12 Pro Max. Pada zum 12X misalnya imej yang diambil menggunakan 12 Pro Max adalah kabur dan mula pecah. Isu yang sama tidak berlaku pada Galaxy Note20 Ultra dan Mate 40 Pro. Jika prestasi zum yang baik adalah amat perlu bagi anda, 12 Pro Max bukalah pilihan paling baik pada waktu ini.

Bagaimana pula dengan mod malam? Imej yang diambil lebih baik apabila menggunakan lensa sudut lebar berbanding ultra sudut lebar. Lebih tajam, lebih jelas dan warna yang lebih hidup. Lihat sendiri hasilnya di bawah. Mod malam pada sudut ultra lebar kelihatan lebih kabur dengan warna lebih pudar. Pada hemat saya tahun ini mod malam terbaik dimenangi oleh peranti Samsung. Sungguhpun begitu mod malam pada peranti ini tidak mengecewakan dan pastinya tidak akan disedari oleh kebanyakan orang melainkan mereka mempunyai lebih dari satu peranti.

Akhir sekali ialah video. Sampel video boleh anda lihat di dalam video yang diletakkan pada permulaan ulasan ini. Kemampuan videografinya memang tiada tandingan. Imej distabilkan seperti menggunakan sebuah gimbal dengan penghasilan warna paling semula jadi pernah dilihat pada sebuah telefon pintar. Kekuatan sebenar kamera iPhone ialah videografi yang sehingga kini tiada tolok bandingnya. Kini dengan Dolby Vision ia semakin meninggalkan pesaing di belakang.

Audio

Dengan dua pembesar suara stereo, kualiti audio peranti ini adalah lebih dari memuaskan. Pada tetapan paling tinggi audio tidak pecah dan masih lagi jelas. Satu-satunya kritikan yang boleh diberikan ialah audio yang sedikit kurang seimbang. Speaker bawah lebih lantang kerana menghala ke sisi dan tidak terus ke arah pengguna. Bergantung kepaa orientasi peranti dipegang, audio dari speaker bawah akan sentiasa kedengaran beberapa tahap lebih tinggi.

Bateri

Ketahanan bateri sangat baik walaupun bateri hanya sebesar 3687 mAh yang jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan Galaxy S20 Ultra 5G (5000 mAh) dan ROG Phone 3 (6000 mAh). Dengan mudah saya menikmati SOT sehingga 15 jam pada penggunaan sederhana dengan sambungan WiFi di rumah. SOT akan menjunam ke sekitar 10 jam apabila di luar dan bergantung sepenuhnya dengan rangkaian 4G LTE.

Ketahanan sepanjang hari boleh dinikmati asalkan anda tidak membuka peranti sepanjang masa. Adalah normal untuk mempunyai baki sekitar 20% pada jam 10 malam sekiranya peranti dicabut pada jam 8 pagi hari yang sama.

Memandangkan kita akan hanya mula menerima sokongan 5G pada tahun 2022, isu kehabisan bateri kerana rangkaian selular terkini tidak menjadi isu pada waktu ini. iPhone 12 Pro Max dengan selesa menjadi peranti mercu dengan ketahanan bateri yang baik untuk tahun 2020.

Proses mengecas pula adalah sekitar satu jam apabila menggunakan kepala pengecas 20W. Ia meningkat ke sekitar 90 minit apabila sistem pengecasan MagSafe nirwayar digunakan. Seperti sedia maklum hanya kabel pengecasan diberikan dengan setiap pembelian. Kepala pengecas 20W Apple kini ditawarkan pada harga RM99. Saya sarankan pembelian jika anda memerlukan sistem pengecasan terpantas yang disokong peranti.

Pesaing

Apple iPhone 12 Pro MaxHuawei Mate 40 ProSamsung Galaxy Note20 Ultra 5G
6.7″ OLED, 1284 x 2778, Dolby Vision, 60Hz (458 ppi)6.76″ OLED, QHD+, HDR10, 90Hz (456 ppi)6.9″ Dynamic AMOLED 2X, QHD+, HDR10+, 120Hz (496 ppi)
Apple 14 Bionic (5nm)
2 X 3.1 GHz Firestorm
4 X 1.8 GHz Icestorm
Kirin 9000 (5nm)
1 X 3.13 GHz Cortex A77
3 X 2.54 GHz Cortex A77
4 X 2.05 GHz Cortex A55
Exynos 990 (7nm)
2 X 2.73 GHz Mongoose M5
2 X 2.5 GHz Cortex A76
4 X 2.0 GHz Cortex A55
Apple GPUMali G-78 MP24Mali G-77 MP11
6 GB8 GB LPDDR512 GB LPDDR5
128/256/512 GB nVMe256 GB
(NMCard 256GB)
256 GB UFS 3.0
(mikro SD 1TB)
Kamera Utama 12+12+12+3DToF Megapixel (f/1.6+f/2.2+f/2.4), OISKamera Utama 50+12+20 Megapixel (f/1.9+f/3.4+f/1.8),OISKamera Utama 108+12+12 Megapixel (f/1.8+f/3.3+f/2.2),OIS
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
10-Megapixel f/2.2
IP68IP68IP68
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Audio Stereo Dolby AtmosAudio StereoAudio Stereo Dolby Atmos
3687 mAh (Berwayar 20W, Nirwayar 15W) 
4400 mAh (Berwayar 66W, Nirwayar 50W)
4500 mAh (Berwayar 25W, Nirwayar 15W)
Harga bermula 5299Harga RM4299Harga RM5199

Kesimpulan

iPhone 2 Pro Max ialah peranti paling mercu ditawarkan di pasaran tahun ini. Dengan harga yang tinggi pasti ramai inginkan kesempurnaan dari peranti ini. Kesempurnaan tidak dapat dicapai tetapi iPhone 12 Pro Max ialah antara peranti terbaik untuk tahun 2020 yang cukup hancur tahun ini.

Kepuasan maksima dapat dinikmati pada kemampuan memproses yang terbaik di dalam kelasnya, kemasan yang tiada tandingan, sokongan perisian yang lama, hayat bateri yang menakjubkan dan rakaman video yang tiada tolok bandingnya.

Apple iPhone 12 Basah

Ini diimbangi oleh skrin yang mengecewakan untuk penduduk iklim tropika, masih lagi sekadar 60Hz, kamera yang tidak memberikan ciri setanding yang ditawarkan pada platform Android dan harga yang sangat tidak sesuai ekonomi zaman pandemik.

Jika anda memang seorang pengguna iOS dan mahukan yang terbaik untuk kekal di dalam ekosistem, iPhone 12 Pro Max ialah peranti yang amat disarankan pembeliannya. Tetapi sekiranya anda ingin berjinak-jinak dengan iOS, saya merasakan iPhone 12 mungkin adalah pilihan lebih berbaloi pada waktu ini. Sekiranya anda pula pembenci iOS, tiada ada apa yang telah saya tulis akan mengubah pendirian anda maka teruslah ke ruangan komen untuk menjadi antagonis.

Pro

  • Kemasan paling premium yang selesa di dalam tangan walaupun sisi berkotak.
  • Apple A14 Bionic ialah cip paling berkuasa untuk telefon pintar tahun ini. Kesemua lancar serta pantas.
  • Prestasi fotografi dan videografi amat baik untuk situasi harian.
  • Audio yang jelas dan terang dengan sokongan stereo.
  • Ketahanan bateri yang amat baik walaupun kapasitinya agak kecil.
  • Sokongan perisian paling lama dalam industri.

Kontra

  • Skrin tidak cukup terang di bawah mentari terik dan masih 60Hz.
  • Masih tiada sokongan mod malam pada kesemua lensa.
  • Peranti memanas apabila mengambil gambar secara berterusan.
  • Bonggol kamera amat tinggi sehingga peranti tidak rata di atas meja.
  • Perlu membeli pengecas berasingan untuk pengecasan pantas.
Komen