Selepas hadir dengan Huawei Nova 8 SE, kini jenama ini dilihat bakal memperluaskan lagi penawaran model di bawah siri yang sama menerusi pengenalan produk baru lagi.
Mungkin terdiri dengan Huawei Nova 8 dan Huawei Nova 8 Pro, acara pelancarannya dijadualkan berlangsung pada 23 Disember 2020. Ia berikutan, tersebarnya imej pelancaran yang dikongsi oleh pihak Huawei menerusi laman Weibo.
Entri tersebut bagaimanapun, tidak mendedahkan sebarang spesifikasi berkaitan peranti. Sebaliknya, hanya memperlihatkan gambaran kasar untuk rekaan pada panel belakang. Jika anda perasan, gambaran kasar yang diperlihatkan untuk modul kamera utama seakan mengiyakan lakaran yang tersebar sebelum ini. Ia hadir dengan modul kamera berbentuk bujur, tetapi masih belum dapat dipastikan mengenai berapa bilangan sensor yang akan disertakan. Mengikut spekulasi awal, ia mungkin menempatkan empat atau lima lensa kamera.
Seterusnya, masih tiada sebarang gambaran untuk rekaan panel hadapan yang ditemui buat masa ini. Spekulasi awal turut mengatakan ia berkemungkinan menggunakan skrin sejenis rata bersama sokongan dwi-kamera swafoto. Siri ini juga dipercayai hadir dengan sokongan kadar segar semula yang tinggi. Seperti biasa, penawaran lebih lanjut berkaitan peranti akan terjawab pada acara pelancaran kelak.
Sekadar selingan, kepada anda yang mempunyai perancangan untuk memiliki Huawei Nova 7i dan Huawei Nova 7 SE. Kini, Huawei hadir dengan tawaran menarik di mana anda boleh membelinya pada harga yang lebih rendah berbanding harga asalnya. Di mana, Huawei Nova 7i kini berharga RM899, sementara Huawei Nova 7 SE pula ditawarkan pada RM1,299.